IPIC: Perjanjian dengan 1MDB 'mengikat cara sah'
Dana milik negara Abu Dhabi, Mubadala, yang tahun lalu bergabung dengan IPIC, menegaskan bahawa perjanjian yang mengikat secara sah dengan 1MDB masih wujud.
Ini susulan pengumuman oleh Peguam Negara, Tommy Thomas bahawa Malaysia telah memfailkan permohonan untuk mengketepikan award persetujuan yang direkodkan oleh tribunal timbangtara pada 9 Mei tahun lalu terhadap penyelesaian 1MDB dengan IPIC berdasarkan alasan penipuan.
"Masih wujud perjanjian penyelesaian yang sah yang dipersetujui oleh pihak-pihak arbitrari yang bersifat mengikat," kata Mubadala kepada Reuters dalam satu kenyataan yang diemail.
Dana Abu Dhabi itu berkata firma berkenaan belum lagi dimaklumkan mengenai cabaran Malaysia.
Di bawah penyelesaian itu, 1MDB membayar IPIC sebayak AS$1.2 bilion dan berusaha untuk membayar dua bon berjumlah AS$3.5 bilion yang dijamin oleh IPIC, yang dengan itu membebaskan IPIC daripada kewajibannya.
"Kumpulan 1MDB menerbitkan bon AS$3.5 bilion kepada pelbagai pemegang saham yang mana IPIC memberi jaminan kepada pemegang saham tersebut.
"Sebagai penerbit, liabiliti utama Kumpulan 1MDB adalah membayar kupon faedah kepada pemegang saham dan untuk membayar balik jumlah prinsipal apabila ia matang kelak,” kata firma itu yang dipetik oleh Reuters.
Semalam, Thomas berkata cabaran tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi London.
Katanya, asas bagi cabaran perundangan Malaysia adalah bahawa Award Persetujuan tersebut telah diperoleh secara penipuan ataupun dengan cara yang bertentangan dengan polisi umum.
Menurutnya, permohonan mahkamah tersebut berkaitan dengan pengetahuan IPIC dan Aabar akan tuduhan yang serius yang dibuat oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) terhadap bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak, yang juga merupakan tenaga penggerak dan pembuat keputusan yang utama di 1MDB.
Beliau berkata, pengetahuan mereka diperoleh, antara lainnya, tidak terkemudian daripada masa sidang media DOJ yang diadakan oleh Peguam Negara Amerika Syarikat, Loretta Lynch, pada Julai 2016 apabila beliau mengumumkan pemfailan beberapa guaman sivil oleh DOJ untuk membekukan aset-aset yang dibeli oleh penipu-penipu menggunakan hasil yang dicuri, dan secara kebiasaannya diperihalkan sebagai kleptokrasi yang terbesar dalam sejarah moden.
Thomas juga memaklumkan bahawa pertuduhan yang berat dan terperinci dalam dokumen-dokumen mahkamah DOJ, telah mendapat publisiti global yang hebat, terutamanya dalam media politik dan perniagaan.
Hal itu, katanya, jelas sekali telah memasuki domain global umum pada Julai 2016 dengan Najib dikenal pasti sebagai MO1 dalam pliding-pliding DOJ.
Justeru, katanya, mana-mana pembaca yang rasional yang membaca dokumen-dokumen tersebut dengan serta-merta akan menyedari peranan utama dia menipu 1MDB untuk manfaat dirinya sendiri, anak tirinya dan Jho Low.

