Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

DUN KELANTAN | Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilihat menyindir anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Lanas Datuk Seri Mustapa Mohamad ketika menjawab isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Sekiranya ada pelajar datang mengadu masalah itu (PTPTN) kita akan ajukan kepada yang berhormat Air Lanas," katanya disusuli tepukan meja ahli-ahli dewan pada persidangan DUN di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu Mustapa yang juga anggota parlimen Jeli menjadi tumpuan apabila muncul sebagai wakil rakyat tunggal Pakatan Harapan (HARAPAN) selepas menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Mohd Amar yang juga exco pentadbiran awam, pembangunan wilayah, kesejahteraan rakyat dan integriti menjelaskan perkara itu sebagai menjawab soalan tambahan Rozi Muhamad (PAS-Tendong) mengenai kemungkinan pelajar rasa tertipu terhadap janji HARAPAN ketika kempen pilihan raya umum (PRU) lalu.

Kata Rozi, ketika PRU lalu pemimpin Pakatan Harapan menjanjikan mahu menghapuskan pinjaman PTPTN.

"Tetapi jelas mereka tertipu dan adakah mereka hadir bertemu dengan kerajaan negeri untuk memohon sumbangan bagi menampung bayaran PTPTN?" soal beliau.

Mohd Amar kemudiannya berkata, beliau tidak menerima sebarang aduan berkaitan perkara tersebut.

Sebagai rekod HARAPAN pada kempen PRU lalu tidak meletakkan hasrat untuk menghapuskan PTPTN dalam manifesto mereka, sebaliknya menangguh bayaran balik pinjaman itu kepada semua peminjam bergaji bawah RM4,000 sebulan.

Sebaliknya, penghapusan pinjaman kepada pelajar institusi pengajian tinggi itu ditawarkan parti PAS melalui manifesto mereka.

Sementara itu Mohd Amar juga berkata, kerajaan negeri mewujudkan tabung pendidikan peringkat negeri bagi membantu pelajar melanjut pelajaran.

Katanya, dana tabung itu diperoleh daripada syarikat-syarikat yang terbabit dengan industri perlombongan.

Katanya, kerajaan negeri menggalakkan syarikat yang mendapat kelulusan perlombongan memberi sumbangan kepada dana terbabit.

“Antaranya syarikat CNMC Goldmine Holdings Limited menghulur sumbangan sebanyak RM1 juta setahun kepada dana itu untuk membiayai pendidikan pelajar.

“Kalau kerajaan pusat boleh memberi royalti petroleum kepada Kelantan kita boleh buat lebih lagi daripada itu,” katanya yang juga ADUN Panchor.

Lihat Komen
ADS