Ezam: Berhenti pertikaikan kesetiaan saya pada PKR...
Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Ezam Mohd Noor meminta ahli-ahli parti itu supaya berhenti mempertikaikan kesetiaannya kepada parti itu dan jangan lagi mengaitkannya dengan spekulasi kemungkinan dia kembali semula ke pangkuan Umno.
Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Ezam Mohd Noor meminta ahli-ahli parti itu supaya berhenti mempertikaikan kesetiaannya kepada parti itu dan jangan lagi mengaitkannya dengan spekulasi kemungkinan dia kembali semula ke pangkuan Umno.
Ketika berucap menggulung perbahasan di Kongres Nasional PKR di ibukota hari ini, beliau mengakui ada menemui pihak Umno, termasuk Khairy Jamaluddin, semata-mata dengan tujuan untuk menyampaikan mesej pucuk pimpinan PKR kepada pucuk pimpinan Umno.
Di samping itu, katanya, pertemuan dengan pihak Umno itu juga ada kaitannya dengan usaha untuk membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ketika itu menjalani hukuman penjara, untuk mendapatkan rawatan di hospital dan di luar negeri.
"Kalau di Singapura kita ada Menteri Mentor sebagai penasihat kepada Perdana Menteri...yang juga bapa Perdana Menterinya...di Malaysia tak ada Menteri Mentor...di Malaysia menantu jadi mentor...
"Jadi untuk sampaikan mesej kepada Perdana Menteri, caranya (melalui) mentornya untuk sampaikan mesej...," tambahnya.
Kerana Anwar
Secara jujur, Ezam memberitahu para perwakilan bahawa Umno memang menjadi parti pilihan utamanya sebelum ini kerana kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam parti tersebut.
"Dan saya pilih Anwar Ibrahim bukan kerana Anwar Ibrahim, tetapi kerana reformasi yang dibawa oleh Anwar, yang saya percaya di zaman generasi kita ini, tidak ada lagi seorang tokoh yang boleh kita letakkan harapan setinggi yang boleh kita letakkan kepada Anwar....
"Itu sebabnya dan asas saya adalah reform dan kita tahu parti reform yang ada di Malaysia sekarang bukan Umno tapi Parti Keadilan Rakyat (PKR). Jadi jangan tanya-tanya lagi, letih nak jawab...termasuk tentang saya dengan Khairy...," tambahnya.
"Jangan tanya lagi..."
Sehubungan itu, Ezam dengan tegas mengatakan bahawa kesetiaannya tetap dengan perjuangan parti dan tidak seharusnya dipertikaikan lagi, termasuk dari kalangan 'rakan-rakan' dalam PKR.
"Kesetiaan saya kepada perjuangan ini...saya bukan nak tabik dada...(selama) enam tahun (ini), dua penjara dah rasa, lokap pula tak sempat nak kira, telanjang sama juga...saya sebut ni bukan kerana sedih, tapi kawan-kwaan soal, sampai ke dalam mesyuarat MT...mungkinkah saya akan masuk umno," tambahnya.
Sikap lebih terbuka
Sementara itu, Naib Presiden PKR, Azmin Ali dalam ucapan penggulungannya pula berharap pergerakan wanita parti itu mengambil sikap yang lebih terbuka, lebih inklusif dengan menonjolkan muka baru.
Menurutnya, muka-muka baru itu hendaklah mereka yang berbeza latarbelakang dan pandangan, khususnya dari kaumpkaum yang lain, untuk menjadikan wanita sebuah pergerakan yang utuh dan kuat mendokong PKR.
Beliau juga menyentuh resolusi yang diluluskan oleh Angkatan Muda untuk memboikot pilihanraya umum sebagai membantah tindak-tanduk Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang didakwanya tidak telus dalam mengendalikan urusan pilihanraya di negara ini.
"Parti di peringkat pusat sebenarnya tidak menolak cadangan Angkatan Muda itu...kita faham hasrat dan ciata-cita dan semangat berkobar Angkatan Muda yang sudah muak dan jijik dengan sifat SPR dalam menjalankan tugas mereka dalam pilihanraya," katanya.
Bagaimanapun, katanya, tahap kesedaran rakyat untuk memboikot pilihanraya masih di tahap paling minima dan menjadi tanggungjawsab parti dan kepimpinanan untuk menggembleng tenaga rakyat bagi memastikan mereka faham tentang penyelwangan dan penipuan tersebut.
"Dan bila dapat satu gerakan yang cukup besar, maka pilihan Angkatan Muda itu akan kita beri pertimbangan sewajarnya," katanya.

