Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kelantan tunai janji, RM50,000 untuk ADUN pembangkang

DUN KELANTAN | Kerajaan negeri Kelantan menunaikan janjinya dengan meluluskan pemberian peruntukan sebanyak RM50,000 kepada setiap anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) bermula tahun depan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata kos peruntukan itu akan diberi kepada lapan ADUN pembangkang membabitkan kos keseluruhan RM400,000.

"Ia adalah peruntukan pembangunan kecil berjumlah RM50,000. Memang tidak sama dengan wakil kerajaan kerajaan kerana anak sendiri dengan anak angkat tidak sama.

"Kita berharap wang berkenaan digunakan dengan baik demi membantu rakyat Kelantan," katanya ketika sesi penggulungan Belanjawan Kelantan 2019 Persidangan DUN Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu selepas pilihan raya umum lalu, Mohd Amar mengumumkan kerajaan negeri komited untuk menyalurkan peruntukan itu.

Justeru katanya, perkara itu akan direalisasikan dan perbelanjaan itu sudah dimasukkan dalam Belanjawan 2019.

Sementara itu ADUN Galas (BN) Mohd Syahbudin Hashim berkata, beliau berterima kasih atas komitmen kerajaan negeri walaupun jumlah peruntukan itu kecil.

Katanya, dengan peruntukan itu dilihat dapat menampung keperluan untul melaksanakan tugas-tugas di peringkat DUN.

"Melihat pada jumlah memang agak sedikit berbanding ADUN kerajaan difahamkan dapat RM250,000. Tetapi sekurang-kurangnya peruntukan itu dapat membantu rakyat, " katanya. 

Lihat Komen
ADS