Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak pasti ilmu hitam, tapi lebih kepada tekanan, kata pembantu

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah Mohamad Nazaruddin Sabtu yang didakwa mengalami sakit misteri menunjukkan perkembangan positif dalam pemulihannya.

Menurut pegawai khasnya, Aminuddin Mohamed Yunus, keadaan exco kesenian, kebudayaan dan adat istiadat Melayu Negeri Sembilan itu semakin menampakkan kemajuan, biarpun proses pemulihannya dijangka memakan masa.

“Alhamdulillah, dengan sokongan keluarga dan semua, keadaannya menampakkan kemajuan.

“Beliau juga sudah boleh bertutur, tetapi masih belum lancar sangat dan tidaklah sejelas (dahulu). Beliau masih memerlukan orang (untuk membantu komunikasi),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Malah kata Aminuddin, wakil rakyat PKR itu sudah pun mula bertugas menghadiri program-program yang dijadualkan.

Apabila ditanya tentang desas-desus bahawa Mohamad Nazaruddin terkena ilmu hitam, Aminuddin berkata tidak pasti tentang hal itu.

“Itu saya tidak pasti, tetapi kalau mengikut perubatan moden, dia lebih kepada stress (tekanan).

“Saya pun faham, rakyat mahukan wakil rakyat yang sentiasa bersama dengan rakyat, tapi itulah …

“Saya mengharapkan orang ramai mendoakan kesihatan dia. (Pemulihannya) Memang akan mengambil masa,” katanya.

Sebelum ini, khabar angin tentang kesihatan Mohamad Nazaruddin mula bertiup setelah beliau lama tidak kelihatan di khalayak ramai sehingga timbul desas-desus dia bersara daripada politik yang telah pun dinafikannya.

Menurut Aminuddin seperti yang dilaporkan sesetengah media baru-baru ini, selain dibawa berubat di hospital di mana dia disahkan mengalami tekanan kerja, keluarga Mohd Nazaruddin juga membawanya mendapatkan rawatan tradisional di mana dia dipercayai terkena gangguan.

Berikutan keadaan kesihatannya, Mohamad Nazaruddin telah diberikan cuti 13 hari bagi menjalani beberapa rawatan.

Malah Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun turut mengeluarkan kenyataan bahwa Mohamad Nazaruddin masih berupaya menjalankan tugas sebagai exco.

Lihat Komen
ADS