Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Liew: JMM hina ATM, seragam itu pilihan Najib
Diterbitkan:  Oct 31, 2018 2:56 PM
Dikemaskini: 8:24 AM

Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong hari ini membidas sebuah NGO yang mesra Umno yang menuduhnya memakai seragam ala komunis semasa pemeriksaan perbarisan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, tuduhan itu suatu penghinaan terhadap pasukan keselamatan negara.

"Pejabat Timbalan Menteri Pertahanan kecewa dengan tuduhan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin Hamzah bahawa kononnya timbalan menteri pertahanan telah memakai uniform ala komunis semasa pemeriksaan perbarisan ATM dalam lawatan ke kem.

"Tuduhan JMM itu merupakan satu penghinaan kepada Angkatan Tentera Malaysia serta Kementerian Pertahanan Malaysia," kata Liew dalam suatu kenyataan hari ini.

Terdahulu, dilaporkan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin Hamzah membuat hantaran di Twitter menuduh Liew 'biadap' dan mendakwa timbalan menteri itu memakai seragam komunis.

"Hari ini dengan sengaja timbalan menteri pertahanan berpakaian seragam komunis di hadapan tentera Melayu. Ini sikap kurang ajar," ciap Azwanddin yang disertai gambar Liew memeriksa perbarisan.

Beliau memaklumkan seragam yang dikenakannya itu merupakan baju korporat yang disediakan Kementerian Pertahanan.

"Baju tersebut merupakan baju korporat "bush jacket" yang disediakan oleh Kementerian Pertahanan untuk majlis rasmi tentera seperti lawatan ke kem, pos keselamatan dan program yang ditentukan oleh penganjur.

"Menteri Pertahanan, Tuan Haji Mohamad Sabu juga memakai pakaian rasmi tersebut.

"Begitu juga dengan mantan menteri dan pemimpin kerajaan yang lain, termasuk pemimpin kerajaan (BN) sebelum ini," katanya.

Baju pilihan Najib

Pejabat Timbalan Menteri Pertahanan menggesa JMM menarik balik tuduhan tersebut dan mengingatkan baju korporat warna 'khaki' itu merupakan pilihan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Warna khaki baju tersebut tidak ada kena-mengena dengan komunis, ia antara rona warna yang selalu dipilih untuk uniform tentera di merata dunia.

"Perlu diingatkan bahawa pada tahun 2017, baju korporat warna "khaki" dicadangkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan akhirnya menjadi pilihan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai pakaian rasmi Sambutan Hari Kebangsaan 2017.

"Kesemua anggota kabinet dan barisan dif kehormat telah memakai baju tersebut semasa sambutan rasmi Hari Kebangsaan," jelas kenyataan itu lagi.

Lihat Komen
ADS