Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPR jumpa 30 parti politik bincang umur minimum, pendaftaran automatik

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berjumpa dengan 30 parti politik hari ini dan antara perkara yang dibincangkan adalah penurunan umur minimum pengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran automatik pengundi.

Susulan perjumpaan itu, Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun memberitahu media bahawa "tiada bantahan" terhadap penurunan umur minimum mengundi namun beberapa pihak menimbulkan kebimbangan berhubung pendaftaran automatik pengundi.

"Mereka menyeru untuk pendaftaran automatik pengundi cuma prosesnya perlu kita kaji.

"Dan juga kesan daripada pendaftaran automatik pengundi juga mesti dilihat," katanya di ibu pejabat SPR di Putrajaya.

Sebagai contoh, katanya, proses itu bererti pengundi akan mengundi berdasarkan alamat yang tertera di kad pengenalan mereka dan bukannya kampung halaman mereka.

"Justeru, kita perlukan pemahaman terhadap polisi ini. Namun dari segi dasarnya, pendaftaran automatik pengundi berjaya mendapat sokongan," kata Azhar lagi.

Azhar turut menyorot bahawa pindaan perlembagaan diperlukan sebelum melaksanakan pendaftaran automatik pengundi.

Pada mesyuarat itu, parti politik juga memohon agar SPR memberikan lebih banyak lagi data pengundi, selain memansuhkan bayaran RM10 untuk mengemukakan bantahan.

Azhar memberi jaminan pihaknya akan mengkaji perkara itu.

Parti politik yang hadir dalam perjumpaan itu ialah BERSATY, PKR, DAP, PAS, Parti Warisan Sabah, Umno, MCA, MIC, PBB, SUPP, Gerakan dan MyPPP.

Parti lain ialah LDP, Upko, Kimma, United People’s Party (UPP), Makkal Sakti Malaysia, PPRS, SAPP, Solidariti Tanah Airku, PSM, Parti Alternatif Rakyat (PAP), Penang Front Party (PFP), Barisan India Se-Malaysia (AMIPF), Malaysian Ceylonese Congress (MCC), Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK).

[Berita lanjut menyusul]

Lihat Komen
ADS