Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sistem IQNILAM 2018 ditangguhkan - KPM
Diterbitkan:  Nov 1, 2018 11:27 AM
Dikemaskini: 3:31 AM

Penggunaan Sistem Indeks Kualiti Nilam (IQNILAM) akan ditangguhkan bagi tahun 2018 untuk membolehkan ia disemak dan ditambah baik secara menyeluruh.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya ada menerima saranan dan permintaan pelbagai pihak termasuk daripada Kesatuan Perkhidmatan Perguruan kebangsaan (NUTP) Semenanjung supaya pengisian sistem itu dihapuskan bagi meringankan beban guru.

Satu garis panduan baharu berkaitan perlaksanaan IQNILAM akan dikeluarkan dalam waktu terdekat yang bakal mengambil kira kesan kepada beban tugas guru.

KPM juga bakal menambah baik sistem perekodan dalam buku rekod Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) supaya lebih mesra pengguna.

"Para guru boleh mengisi data pada bila-bila masa dan tidak terikat dengan tempoh empat bulan sekali.

"Guru hanya perlu memasukkan tiga data bacaan murid sahaja iaitu bilangan buku, bilangan bukan buku dan aktiviti susulan. Guru tidak perlu membuat sebarang pengiraan kerana ia dijana secara automatik," kata kenyataan itu.

Sementara itu, bagi Pengurusan Pusat Sumber Sekolah (PSS), bilangan fail yang perlu dikendalikan dikurangkan daripada 10 fail kepada tiga fail iaitu Fail Pengurusan PSS, Fail Aktiviti PSS dan Buku Stok.

Kementerian turut menegaskan Guru Penyelaras Bestari (ICT) tidak perlu mengendalikan fail-fail Pembestarian Sekolah secara berasingan.

Fail-fail berkaitan yang telah diwujudkan dalam sistem fail sekolah sudah memadai.

- Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS