Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM pamer pendapatan ahli politik kerajaan
Diterbitkan:  Nov 1, 2018 11:54 AM
Dikemaskini: 10:56 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempamerkan pendapatan ahli politik kerajaan yang mengisytiharkan harta masing-masing kepada mereka.

Ia dimuat naik di Portal Perishtiharan Harta SPRM.

Pagi tadi pendapatan Menteri Kewangan Lim Guan Eng paling tinggi dengan jumlah RM86,464.92, yang turut diisytihar dengan isterinya.

Ini diikuti dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, pemimpin DAP Teresa Kok dan lain-lain.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berada di kedudukan kesembilan. Timbalan Perdana Menteri itu yang membuat pengisytiharan untuk diri dan suami pula mencatatkan jumlah pendapatan RM59,048.33.

Bagaimanapun tengah hari ini, terdapat perubahan dibuat apabila kedudukan itu berubah dengan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berada di tempat kedua.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna iu mengisytiharkan dirinya serta isteri dengan jumlah pendapatan RM77,629.68.

Dr Mahathir yang membuat pengisytiharan bersama-sama isteri pula berada di kedudukan ketiga dengan jumlah pendapatan RM75,861.57.

Kemungkinan laman web itu sedang dikemas kini.

Maklumat itu tidak menjelaskan jumlah itu untuk tempoh berapa lama, sama ada sebulan atau tempoh lain.

Begitu juga sama ada ia adalah pendapatan sendiri atau bersama anggota keluarga yang lain.

Tiada pecahan pendapatan dipamerkan buat masa ini susulan "masalah teknikal".

Sehingga 6 petang hari ini, 38 anggota pentadbiran kerajaan telah mengisytiharkan harta manakala 14 lagi belum berbuat demikian.

Seramai 81 Anggota Parlimen pula sudah mengisytiharkan harta mereka manakala 44 lagi belum melakukannya.

Laman web tersebut turut menyebut, maklumat terperinci berkaitan dengan pemilikan harta akan dipaparkan apabila masalah teknikal diselesaikan.

Portal Pengisytiharan Harta yang dibangunkan SPRM itu disediakan untuk membolehkan perisytiharan harta oleh anggota pentadbiran dan anggota parlimen kerajaan dipaparkan kepada masyarakat berdasarkan kepada keputusan kerajaan untuk membuktikan ketelusan kepimpinan kerajaan.

Lihat Komen
ADS