Pewartaan pelan Bandaraya KL 2020 bolehkan setiap pelanggaran diselidik
PARLIMEN l Pewartaan Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 pada Selasa lepas akan membolehkan kerajaan menyelidik setiap pelanggaran yang berlaku sewaktu pentadbiran terdahulu.
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata pewartaan tersebut telah disertakan bersama lampiran yang menyenaraikan setiap satu pelanggaran ketetapan zon guna tanah dan ketetapan intensiti pembangunan dalam kelulusan permohonan kebenaran perancangan yang bercanggah dengan pelan itu.
“Setiap satu pelanggaran boleh kita selidiki termasuk siapa pihak yang meluluskan kerana hakikatnya dalam soal ini ada lebih daripada satu pihak. Walaupun akhirnya yang berkuasa (memberi kelulusan) adalah Datuk Bandar Kuala Lumpur sendiri tetapi ada tanah yang merupakan tanah milik PTG (Pejabat Pengarah Tanah dan Galian) yang memerlukan kelulusan pihak jawatankuasa exco untuk meluluskan jualan dan penukaran zonnya.
“Setiap satu itu ada sejarah dan maklumat terperinci tersendiri tentang bagaimana dan siapa yang terlibat kerana walaupun Datuk Bandar yang luluskan tetapi ada juga nota-nota yang mana Menteri Wilayah Persekutuan telah meminitkan arahan supaya ia diluluskan zoning yang baru, dan intensiti atau densiti atau plot ratio yang berbeza daripada apa yang terkandung dalam pelan itu,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang ingin tahu siapa yang bertanggungjawab atas pelanggaran yang dilakukan dalam pembangunan Kuala Lumpur.
Menurut Khalid, pihaknya akan menyelidik perkara itu mengikut keutamaan setiap kes dan akan mendedahkannya atas prinsip kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang telus.
Menjelas lanjut, beliau berkata jika berlakunya pelanggaran, pihak kementerian dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempunyai dua pilihan untuk menanganinya sama ada berunding semula dengan pemaju sekiranya mereka bersetuju, atau membatalkan semua projek dan berhadapan dengan pemaju di mahkamah.
Khalid turut menjelaskan pelan yang diwartakan Selasa lepas itu merupakan pelan yang disediakan pada 2015.
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (BN-Putrajaya) kemudian bangun menjelaskan bahawa beliau tidak menandatangani pelan berkenaan sewaktu menjadi Menteri Wilayah Persekutuan kerana antaranya pelan itu boleh dipinda oleh menteri dan Datuk Bandar walaupun selepas diwartakan.
“Saya minta perkara itu dikeluarkan, jadi tidak ada moonlighting,” katanya sebelum bertanya sama ada perkara itu telah dikeluarkan daripada syarat pewartaan pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020.
Bagaimanapun, Khalid berkata perkara itu boleh dipinda walaupun selepas ia diwartakan.
“Dengan pewartaan ini, proses penukaran dan pindaan ingin dilakukan lebih sukar tetapi ia lebih telus dan menjamin penglibatan pihak berkepentingan dan kalau tak diwartakan, apa sahaja boleh diubah sesuka hati dan ini yang kita ingin halang,” katanya.
- Bernama

