Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lari lokap mahu sambut hari jadi, lelaki dipenjara 8 bulan
Diterbitkan:  Nov 1, 2018 2:18 PM
Dikemaskini: 6:22 AM

Gara-gara melarikan diri dari tahanan lokap kerana mahu menyambut ulang tahun kelahiran bersama teman wanita 27 Okt lalu, pemasang jubin dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di Taiping hari ini.

Tertuduh, Pang Hung Boon, 37, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Hokkien di hadapan Majistret Mohd Hairol Jemain.

Majistret memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap 29 Okt lepas.

Mohd Hairol mengenakan hukuman penjara ke atas tertuduh kerana alasannya melarikan diri kerana mahu menyambut ulang tahun kelahirannya bersama teman wanita adalah tidak munasabah dan mencacatkan motif tertuduh ditahan.

Lelaki itu didakwa dengan sengaja melepaskan diri daripada jagaan lokap Balai Polis Taipingi, kerana ditahan secara sah bagi kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 (Langkah-Langkah Pencegahan Khas), kira-kira 7.32 malam, 27 Okt lalu.

Bagi kesalahan tersebut, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pang yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah hanya mengenakan hukuman denda kerana dia perlu menjaga bapanya serta teman wanita dan anaknya.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Raihan Rithwan memohon agar mahkamah menolak rayuan tertuduh untuk dikenakan denda kerana tertuduh mempunyai empat rekod jenayah lampau pada 2014, 2015 dan 2016.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS