PEMILIHAN PKR | Naib Ketua Cabang PKR Subang, Mohd Majeman Nyono membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan anggotanya ditawarkan RM100 dalam pemilihan parti itu.

Mohd Majeman mendakwa hampir 50 anggota PKR cabang berkenaan ditawarkan wang bagi memilih calon-calon tertentu pada pemilihan parti tersebut.

"Ini merupakan kali pertama insiden politik wang ini berlaku di Cabang Subang dan kami turut menyahut seruan kepimpinan parti agar membuat sebarang laporan kepada pihak berkuasa berhubung tindakan berkenaan," katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Namun begitu, beliau berkata pihaknya tidak dapat membuat pendedahan secara terperinci bagi memudahkan siasatan SPRM.

"Buat masa ini, kita tak boleh dedahkan siapa yang ditawarkan dan siapa yang menawarkan wang berkenaan sebab ia akan menganggu siasatan SPRM," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM Selangor hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Majeman turut memaklumkan bahawa beliau akan merujuk perkara tersebut kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.

Tambah beliau, pihaknya juga menggesa SPRM menjalankan siasatan terperinci bagi memastikan pihak bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan.

"Kami juga harap agar JPP dapat membuat satu pemilihan baru di Cabang Subang sekiranya pihak terbabit didapati bersalah," katanya.

Dakwaan berlaku amalan politik wang sebelum ini mencemari pemilihan dalam PKR.

Pada 17 Okt lalu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Biro Politik PKR telah mengambil maklum mengenainya dan menegaskan perkara itu akan disiasat.