ULASAN l Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) sekali lagi tersentak sehingga terpaksa mengeluarkan kenyataan yang mendesak ahli parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) supaya tidak mencadangkan penggunaan Akta Hasutan 1948.

Akta Hasutan adalah undang-undang penjajah yang tidak mempunyai tempat dalam masyarakat demokratik dan hanya wujud dengan tujuan untuk menyekat kebebasan bersuara.

Walaupun kami mengucapkan tahniah kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, yang memaklumkan bahawa tidak perlu ada pendakwaan, nampaknya ramai yang tidak memahami moratorium itu, mahupun tentang prinsip kebebasan bersuara.

Justeru, CIJ sekali lagi menuntut pemansuhan Akta Hasutan dijadikan keutamaan bagi kerajaan HARAPAN, iaitu selaras dengan manifesto pilihan raya mereka.

Pada 1 Nov lalu Ahli Parlimen Sungai Petani PKR, Datuk Johari Abdul menuntut supaya siasatan dijalankan ke atas penasihat perdana menteri, Datuk A Kadir Jasin mengikut Akta Hasutan berhubung tulisan di blognya yang meminta perbelanjaan untuk raja-raja didedahkan.

Terdapat beberapa bahagian yang bermasalah dengan kenyataan itu. Pertama, penting untuk dinyatakan bahawa tidak kisah dengan apa yang Kadir kata.

Jika dia mengatakan sesuatu yang mencemarkan kedudukan raja-raja, atau mana-mana institusi atau individu lain, dia boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan (yang perlu dipinda untuk memastikan ia mencerminkan Artikel 10 Perlembagaan.)

Namun Johari tidak mendakwa sedemikian. Apa yang dia katakan ialah bahawa Kadir menyentuh perkara-perkara yang dekat dengan hati rakyat yang tidak manis tentang kesultanan Kedah. Tidak ada justifikasi untuk menjadikannya satu pengecualian untuk melindungi Perkara 10 hanya kerana terdapat sedikit atau hanya perkara yang berpotensi menjadi buruk terhadap raja-raja.

Tidak ada dakwaan bahawa kemudaratan sebenar berlaku. Kesultanan Kedah tidak akan digulingkan dengan kata-kata Kadir.

Justeru, isu yang lebih besar adalah kurangnya persefahaman di pihak ahli parlimen sama ada berhubung peranan Perlembagaan Persekutuan atau janji-janji mereka kepada pengundi pada Mei 2018.

Ketika itu, Johari, dengan rakan-rakannya, berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan dan mendukung asas kebebasan.

Untuk menyelamatkan ahli parlimen itu dan rakan-rakannya daripada godaan lanjut, CIJ menuntut segera pemansuhan Akta Hasutan, terutama ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sedang meraikan keperluan untuk menamatkan impuniti atau hukuman terhadap wartawan.

Walau bagaimanapun, kami terus menggesa agar latihan mengenai kebebasan bersuara dan kebebasan maklumat diberikan untuk semua Ahli Parlimen, supaya mereka dapat menjalankan tugas awam mereka dengan lebih baik.


Pusat Kewartawanan Bebas, Malaysia (CIJ) adalah organisasi bukan keuntungan yang bertujuan menjadikan masyarakat demokratik, adil dan bebas di mana semua orang akan menikmati media bebas dan kebebasan untuk menyatakan, mencari dan menyampaikan maklumat.

Tulisan ini adalah pandangan pengarang / penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.