Di sebalik dakwaan keputusan sebelah pihak, Universiti Malaya (UM) dikatakan "sedang" berunding dengan semua pihak terlibat bagi menjayakan penstrukturan semula Universiti Malaya (UM).

Menurut Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, perkara itu dimaklumkan pihak pengurusan universiti tertua di Malaysia itu kepada pegawainya.

“Berdasarkan maklumat diperoleh, pengurusan UM memaklumkan pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan kesemua pemegang taruh universiti itu secara berperingkat termasuk Persatuan Kakitangan Akademik UM.

“Pengurusan universiti telah mengadakan perbincangan dengan pengurusan kanan akademik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 30 Oktober lalu, Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) mendakwa penstrukturan semula UM dibuat tanpa mengambil kira pandangan ahli akademik.

Katanya, setakat kenyataan itu dikeluarkan, ia hanya melibatkan pihak pengurusan UM, dekan-dekan fakulti dan ketua-ketua jabatan sahaja.

“Proses yang dilaksanakan setakat ini merupakan arahan atasan kepada golongan bawahan,” kata presidennya Azmi Sharom.

PKAUM juga mendakwa perunding penstrukturan semula itu dibuat melalui model korporat dan melibatkan perunding luar negara yang tidak mempunyai pengalaman penstrukturan institusi akademik.

“Apakah Universiti Malaya tidak mempunyai pakarnya sendiri yang juga memahami dengan mendalam sistem akademik untuk berbuat demikian?” soalnya.

Dalam kenyataan hari ini, tiga hari selepas kenyatan PKAUM, Maszle berharap perbincangan dengan semua pihak itu akan memberi manfaat untuk jangka masa panjang.

“Saya yakin kuasa autonomi yang diberikan kepada universiti awam akan meningkatkan

kualiti institusi pengajian tinggi sebagaimana disasarkan kerajaan,” katanya.

Kerajaan pada 5 Oktober lalu memberikan status autonomi kepada kesemua 20 universiti awam di negara ini, yang memberikan kuasa kepada Lembaga Pengarah Universiti dan Lembaga Gabenor Universiti membuat apa juga keputusan.