Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyasarkan pungutan zakat RM25 juta tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Shukri Yusoff.
Bagi tempoh Januari hingga Oktober, sebanyak RM13.1 juta dikutip dengan pembayar zakat seramai 16, 497 orang berbanding RM21 juta tahun lepas.
"Dalam tempoh kurang dari dua bulan ini (tahun 2018), kami yakin dapat mencapai sasaran terutamanya dengan menaik taraf perkhidmatan pembayaran zakat melalui laman web zakat2u versi 4.0 ini.
"Kemudahan ini dapat memberi ruang kepada pembayar zakat yang baharu atau lama untuk berurusan dengan mudah seiring dengan perubahan teknologi masa kini," katanya pada sidang media selepas melancarkan Zakat2u versi 4.0 di Wisma PPZ hari ini.
Ahmad Shukri berkata antara kelebihan versi berkenaan adalah kemudahan pengiraan kalkulator secara automatik yang ringkas, pembayaran melebihi daripada satu jenis zakat dalam satu masa dengan penggunaan troli zakat dan penggunaan resit rasmi secara dalam talian.
Selain itu, ada bacaan doa untuk pembayar zakat atau muzakki, integrasi pembayaran zakat menggunakan peti perbualan (chatbox) Facebook Messenger dan video tutorial panduan pengiraan zakat.
"Melalui kemudahan ini, pelbagai urusan pembayaran zakat dapat dilakukan menerusi talian dengan mudah dan cepat, PPZ-MAIWP yakin ada penambahan 25 peratus pembayar zakat tahun ini, " katanya.
- Bernama
