K'jaan NS akan wujud tabung usahawan belia dan wanita
Kerajaan Negeri Sembilan akan mewujudkan Tabung Usahawan kepada golongan belia dan wanita di negeri ini yang dijangka akan diumumkan selepas belanjawan negeri nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri Mohamad Taufek Abd Ghani berkata tabung berkenaan diwujudkan bagi membantu dan memperkasakan lagi usahawan di negeri ini supaya dapat bersaing dengan usahawan lain.
"Jumlah tabung tersebut adalah sangat besar dan kita tidak mahu umumkan buat masa sekarang. Saya yakin Menteri Besar Aminuddin Harun akan umumkan semasa sidang Dewan Undangan Negeri akan datang atau selepas membentangkan belanjawan negeri dalam masa terdekat.
"Diharapkan tabung ini dapat memberi bantuan dan manfaat kepada usahawan wanita dan belia yang berumur 40 tahun ke bawah yang berminat memajukan perniagaan mereka. Ini adalah salah satu usaha kerajaan negeri membantu mereka menceburi bidang keusahawanan secara lebih serius, " katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Tunas Usahawan Bumiputera Negeri Sembilan di sini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif II SME Corporation Malaysia (SME Corp) Mohd Rithaudden Makip.
- Bernama

