Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zahid: Bolehkah percaya Bajet HARAPAN?
Diterbitkan:  Nov 2, 2018 3:33 PM
Dikemaskini: 7:49 AM

Menjelang pembentangan Bajet 2019, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengkritik Pakatan Harapan (HARAPAN) dengan mempersoalkan jika belanjawawan itu dapat dilaksanakan.

"Semua pihak menunggu dengan penuh debaran dan harapan tentang Bajet2019?

"Persoalannya sama ada bajet ini mampu dipercayai sedangkan manifesto pun tak ditunaikan? Rakyat sedang memerhati," katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dijadual membentangkan belanjawan di Dewan Rakyat pada jam 4 petang ini.

Ia bajet pertama oleh kerajaan baru sejak kemerdekaan negara pada tahun 1957.

Walaupun terdapat jangkaan tinggi, bajet ini boleh menjadi salah satu belanjawan yang paling sukar di tengah-tengah senarai dakwaan penyelewengan, perbelanjaan yang meragukan dan hutang tanpa justifikasi yang ditinggalkan kerajaan terdahulu yang diterajui oleh BN.

Hal ini mungkin menjadikan lembaran imbangan fiskal hampir tidak dapat dibetulkan.

Semalam, BN membentangkan dokumen "Inisiatif Ekonomi Rakyat" dengan lapan strategi yang dituntutnya dapat meningkatkan jumlah pendapatan negara kepada RM247 bilion pada tahun hadapan.

Najib: Sama dengan bajet alternatif HARAPAN 2018?

Menteri kewangan bayangan BN berkata pendapatan tambahan akan dijana melalui pengenalan semula GST pada kadar yang lebih rendah sebanyak tiga peratus, serta pengenalan beberapa cukai baru.

Dalam pembentangannya, Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin juga membentangkan cadangan BN mengenai cara-cara membelanjakan hasil tambahan negara.

Menurut Khairy, cara-cara ini merupakan penerusan dasar daripada manifesto pilihan raya umum ke-14 dan juga inisiatif di bawah bajet terdahulu yang dibentangkan ketika BN menguasai kerajaan persekutuan.

Sementara itu, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata bajet alternatif HARAPAN pada 2018 mengandungi pelbagai janji "walaupun sasaran defisit bajet hanya 2 peratus iaitu lebih rendah dari bajet BN."

"Kita tengok Bajet 2019 HARAPAN yang akan dibentang petang ini ada persamaan atau tidak dengan bajet mereka tahun lepas," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

 

Lihat Komen
ADS