Puad: Kalau Anwar jadi PM, dia boleh dakwa Mahathir, Daim
Ketua Umno Bahagian Batu Pahat, Datuk Mohd Puad Zarkashi mencadangkan supaya pembangkang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih cepat menjadi perdana menteri yang akan datang.
Menurut beliau, ini akan membolehkan presiden PKR itu melakukan "pembersihan dalaman" Pakatan Harapan.
“Kalau Anwar jadi PM maka bolehlah dia melakukan pembersihan dalam Pakatan Harapan termasuk mendakwa Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) dan Tun Daim (Zainuddin) yang beliau tuduh sebagai bapa perasuah.
“Buka balik kes rasuah (Menteri Kewangan) Lim Guan Eng. Siasat kekayaan luar biasa anak Mahathir,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, dan diterbitkan di Umno Online.
Puad berkata Anwar perlu bertindak cepat kerana jika lambat Dr Mahathir mungkin akan mendakwa beliau terlebih dahulu dan Anwar tidak akan sempat menjadi perdana menteri.
Puad, yang juga bekas pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), mengulas saranan supaya ahli parlimen Umno disaring terlebih dahulu daripada rasuah sebelum diluluskan untuk mereka menyertai BERSATU.
Beliau berkata jika Anwar serius mahu membebaskan HARAPAN daripada rasuah, beliau harus "membuang" Mahathir dan Daim.
Puad mrujuk ucapan dan kenyataan terdahulu pemimpin HARAPAN yang membidas Mahathir dan Daim sebagai perasuah, termasuk kenyataan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang menuduh Mahathir sebagai "bapa perompak" pada tahun 2015.
Minggu lalu, bekas Pengerusi Umno Kelantan dan Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed menyertai BERSATU.
Berikutan itu, penasihat media dan komunikasi Mahathir, Datuk A Kadir Jasin mendakwa bahawa sekurang-kurangnya 40 wakil rakyat Umno akan menyusul.

