Kerajaan komited mudah cara pembiayaan kepada PKS
Kerajaan komited untuk menggiatkan usaha bagi memudahcara pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang merupakan penjana utama ekonomi.
Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2019 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, mengambil kira peranan penting PKS kepada ekonomi, pilihan pembiayaan yang luas perlu disediakan untuk menyokong pertumbuhan PKS terutama bagi tujuan modal kerja, memperbaiki atau meningkatkan proses pengeluaran, meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta pembiayaan semula dan konsolidasi hutang.
Pada masa kini, sebahagian besar pembiayaan PKS diperoleh daripada institusi kewangan iaitu sebanyak 94.9 peratus dan selebihnya daripada pasaran modal.
Inisiatif pembiayaan akan ditumpukan kepada Pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP) dan saluran pembiayaan alternatif lain seperti pembiayaan antara rakan setara (P2P) dan modal teroka (VC) untuk memperluas prospek pelaburan dalam pasaran modal, kata laporan itu.
LEAP merupakan platform penjanaan pembiayaan alternatif bagi menangani jurang pembiayaan yang dihadapi oleh PKS.
Malaysia menjadi peneraju pasaran LEAP di ASEAN dari segi inovasi pasaran modal ke arah meningkatkan daya saing pasaran modal domestik.
Sejak diperkenalkan pada 25 Julai 2017, bilangan syarikat yang berjaya disenaraikan telah meningkat daripada dua kepada enam syarikat pada akhir Ogos 2018.
Pada akhir 2017, terdapat sebanyak 101 syarikat VC dan sembilan syarikat ekuiti swasta (PE) yang berdaftar.
Jumlah dana komited dalam sektor VC dan PE bernilai RM7 bilion pada 2017 berbanding RM6.5 bilion pada tahun sebelumnya.
Menurut laporan itu, pembiayaan alternatif juga menyediakan peluang untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan dan memperkukuh pasaran modal Malaysia selain turut dilengkapi program bina upaya bagi memperkasakan PKS.
"Justeru itu, peluang yang ditawarkan wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh PKS bagi mendapatkan akses yang lebih luas kepada pembiayaan pada masa hadapan demi meningkatkan sumbangan kepada ekonomi," menurut laporan tersebut.
- Bernama

