BELANJAWAN 2019 | Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion bagi meningkatkan syiar Islam sesuai dengan kedudukannya sebagai agama rasmi negara.

Menurut Lim Guan Eng jumlah itu menunjukkan pertambahan berbanding RM1.1 bilion pada tahun lalu.

Katanya langkah tersebut dibuat bagi memastikan perkembangan syiar Islam tidak terjejas walaupun negara berdepan dengan keadaan ekonomi yang mencabar.

"Selain itu, sejumlah RM150 juta disediakan bagi melaksanakan program termasuk pembinaan masjid dan surau di seluruh negara," katanya semasa membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat hari ini.

Lim yang juga anggota parlimen Bagan menjelaskan kerajaan turut menggerakkan inisiatif Khaira Ummah bagi melahirkan lebih ramai profesional di kalangan huffaz (ahli hafiz al-Quran) dan modul pembelajaran agama dengan penggunaan braille.

Sementara itu semasa menyentuh mengenai strategi kerajaan menyediakan pendidikan yang lebih baik Lim mengumumkan peruntukan sebanyak RM125 juta bagi institusi berkaitan Islam yang berdaftar.

Peruntukan yang disediakan ialah sekolah agama bantuan kerajaan dan sekolah tahfiz dengan masing-masing mendapat RM50 juta, selain sekolah pondok sebanyak RM25 juta.

Peruntukan itu diumum bersama bantuan untuk institusi lain iaitu:

• Sekolah Kebangsaan – RM250 juta;

• Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) – RM50 juta;

• Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) – RM50 juta;

• Sekolah Berasrama Penuh – RM50 juta;

• Maktab Rendah Sains Mara – RM50 juta;

• Sekolah Mubaligh – RM50 juta;

• Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) atau

Conforming School – RM15 juta; dan

• Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) – RM12 juta.