Tiada campur tangan istana dalam penamatan lantikan tokoh perniagaan Koon Yew Yin sebagai anggota Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Perak (SEAC), demikian tegas Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.

Katanya keputusan untuk tidak meneruskan lantikan Koon adalah keputusan beliau sendiri dan atas budi bicara sebagai Menteri Besar yang mencadangkan tokoh-tokoh untuk dilantik menganggotai majlis tersebut.

Ahmad Faizal berkata keputusan itu dibuat susulan tindakan Koon membuat dakwaan yang sangat serius terhadap Almarhum Sultan Azlan Shah berhubung amalan rasuah dalam pengurniaan darjah kebesaran negeri Perak pada awal pemerintahan baginda sebagai Sultan Perak.

"Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sama sekali tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam keputusan tidak meneruskan lantikan Koon.

“Sebagai bekas Ketua Hakim Negara dan Yang di-Pertuan Agong ke-9, Almarhum Sultan Azlan Shah sentiasa disanjung segenap lapisan masyarakat sebagai Raja yang berjiwa rakyat dan telah meninggalkan legasi begitu besar kepada pembangunan negeri Perak serta negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Koon dalam kenyataan di laman sosial miliknya memuat naik status ‘Sultan Perak telah menghentikan perlantikan beliau apabila menyiarkan satu artikel melibatkan Almarhum Sultan Azlan Shah’.

Ahmad Faizal berkata sebagai pentadbiran yang tegas mempertahankan Perlembagaan Negara dan Institusi Raja-Raja Melayu yang memayungi rakyat daripada semua kaum dan agama, kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan memandang serius perbuatan yang menjatuhkan kredibiliti serta imej institusi diraja.

“Saya mendapati tindakan Koon yang mencemar nama baik Almarhum Sultan Azlan dan Institusi Kesultanan Perak tidak dapat diterima dan dipertahankan.

“Ini diburukkan lagi dengan tindakan Koon memuat naik status di laman sosial yang berbentuk andaian tanpa sebarang asas bahawa Sultan Perak cuba campur tangan dalam pelantikannya sebagai anggota SEAC," katanya.

- Bernama