Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zahid: Belanjawan 2019 'tak ada kelainan'
Diterbitkan:  Nov 2, 2018 8:13 PM
Dikemaskini: 2:11 PM

BELANJAWAN 2019 | Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pembangkang secara keseluruhan menolak Belanjawan 2019 yang dibentangkan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Jelas Zahid yang juga merupakan ketua pembangkang, Belanjawan 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng "tidak ada kelainan".

Malah, kata Zahid, belanjawan yang dibentang Menteri Kewangan Lim Guan Eng itu tidak mempunyai perancangan khusus untuk petani, nelayan dan pekebun kecil.

“Kita dapati tidak ada kelainan yang besar yang telah dibentangkan malah tidak ada pun perancangan khusus untuk petani dan nelayan dan juga mereka yang menjadi pekebun-pekebun kecil terutama apabila harga komoditi jatuh,” katanya dipetik Umno Online.

Untuk rekod, di bawah Belanjawan 2019, Lim mengumumkan bahawa kerajaan akan menyediakan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dengan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi membantu mengurangkan kesan kejatuhan harga getah kepada pekebun kecil.

Jelas Lim, pekebun kecil akan menerima sokongan pendapatan daripada IPG jika harga getah jatuh bawah RM2.20 sekilogram.

Sementara itu, tambah Zahid lagi, meskipun kerajaan telah mengurangkan kos kebanyakan projek-projek besar, ia tetap "bukan satu penjimatan".

“Begitu juga bagi meningkatkan hasil kerajaan mereka bercadang untuk menjual aset-aset dan ini merupakan satu tindakan ke belakang.

“Kita lihat bahawa ada orang yang datang dari luar negara, yang dengarnya ditempatkan di Labuan semata-mata untuk membeli aset-aset ini dan apabila harga saham terlalu rendah maka ketika itulah orang-orang tertentu akan mula mengambil aset-aset ini dan ini akan mengurangkan kekangan kerajaan dalam GST,” katanya dipetik sebagai berkata.

Dalam kenyataan media susulannya hari ini, meskipun mengakui terdapat beberapa kebaikan, Zahid berkata Belanjawan 2019 masih 'tidak menyeluruh.

"Ada yang boleh dianggap baik, khasnya penerima BR1M dan bantuan lain. Apapun, ia tidak menyeluruh.

"Tidak ada yang istimewa untuk rakyat, terutama bagi mengatasi isu kos sara hidup mereka. Banyak berkisar pada skim kesihatan dan dividen yang longgar," katanya.

Zahid juga menyifatkan pengumuman berhubung pengangkutan awam lebih bertumpu dan memanfaatkan kepada pengguna di tempat-tempat yang ada LRT dan MRT.

Dalam kenyataan itu juga, Zahid turut mempertikaikan jumlah keseluruhan belanjawan, iaitu RM314.5 bilion.

"RM314.5 bilion akan diperoleh dari mana jika kerajaan berkata hutang negara berjumlah RM1 trilion? Mana perkiraan fiskalnya?

"Ini bajet untuk mempopularkan kerajaan, untuk kerajaan dan bukan untuk rakyat," katanya.


 

Lihat Komen
ADS