Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Reaksi umum Belanjawan 2019
Diterbitkan:  Nov 2, 2018 9:20 PM
Dikemaskini: 2:01 PM

Berikut beberapa maklum balas umum mengenai pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat hari ini:

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon:

"MTUC mengalu-alukan usaha membantu golongan berpendapatan rendah- dengan mengambil kira keseluruhan jumlah pemberian B40 yang pasti akan memberi manfaat...

"Kami perlu mengambil perhatian Bantuan Sara Hidup sebanyak RM1000 bagi mereka yang berpendapatan RM2000, pas bulanan percuma RM100, pemansuhan tol motosikan di jambatan Pulau Pinang."

Prasarana:

"Prasarana yakin dengan pengenalan inisiatif (Pas bulanan RM100 tanpa had) ini dapat menggalakan lagi penduduk di Lembah Klang untuk memilih pengangkutan awam sebagai pilihan utama mod pengangkutan bukan sahaja untuk pergi dan balik dari tempat kerja, malah untuk beriadah pada hujung minggu."

Pengarah Urusan Khazanah Datuk Shahril Ridza Ridzuan:

"Khazanah dan syarikat-syarikat penerima pelaburan kami tidak sabar untuk memainkan peranan dalam menyampaikan langkah-langkah pembangunan negara yang disebut dalam Belanjawan 2019, dengan penekanan khusus kepada industri aeroangkasa, kreatif dan media, disamping memelihara warisan budaya."

Nurul Hidayah Hamid, 29, Alor Setar:

“​​​​​​Pemberian BSH yang bergantung kepada saiz isi rumah merupakan satu penambahbaikan yang sangat baik ... Sebelum ini, golongan yang mampu juga turut menerima BR1M dan itu menyebabkan ada golongan yang benar-benar layak, tidak menerima bantuan tersebut.”

Zulhilmi Ahmad, 42, Alor Setar:

"Apa lagi yang lebih bagus (BSH) ialah ia dapat meringankan bebanan ibu bapa yang mempunyai anak istimewa kerana keperluan orang kelainan upaya (OKU) lebih banyak berbanding anak-anak biasa.”

Mohd Fazil Othman, 32, Pulau Pinang:

"Sudah tentu kos untuk membayar tol setiap kali masuk pulau memberi kesan kerana saya bekerja sendiri. Jadi pemansuhan itu amat tepat.”

Pengusaha resort, Asmadi Teh:

“Ini sangat menggembirakan kerana sebelum ini tidak tahu status Pulau Pangkor sama ada akan diteruskan sebagai pulau bebas cukai atau tidak kerana telah bertukar pentadbiran kerajaan, namun hari ini semuanya terjawab."

Pengerusi Persatuan Teksi Pulau Pangkor Mohamad Salleh Lebai Jusid:

“Seramai 112 pemandu teksi di pulau ini gembira dan akan mencari jalan untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan dalam menyambut pelaksanaan status pulau bebas cukai."

Pengerusi Badan Penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) KADA, Tengku Hussin Tengku Abdul Rahman:

“Kami ingin tahu berapa jumlah peruntukan yang disediakan oleh kerajaan baharu di bawah kerajaan Pakatan Harapan bagi membantu kami berikutan kenaikan kos modal untuk mengerjakan sawah semakin meningkat.”

Bekas banduan, Terengganu:

“Apabila keluar dari penjara pada 2014, saya ke sini (Kuala Terengganu), cuba memohon untuk bekerja di stesen minyak tetapi rekod kesalahan lampau dihidu majikan. Pernah juga bekerja di kedai makan, ia juga tidak lama kerana majikan sentiasa ragu-ragu."

 

Lihat Komen
ADS