BELANJAWAN 2019 | PAS menganggap Belanjawan 2019 yang dibentangkan kerajaan hari ini mengabaikan pembangunan Pantai Timur, kata Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata belanjawan kali ini langsung tidak menyentuh aspek pembangunan khususnya di Kelantan, Terengganu dan Pahang yang dikuasai pembangkang.

"Semasa pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK-11, antara yang dibangkitkan ialah pembangunan wilayah yang seimbang. Tetapi dalam Belanjawan 2019 tidak digambarkan dalam data yang jelas tentang pembangunan khususnya kawasan wilayah Pantai Timur.

"Hampir tiada agenda besar dibuat yang menyebabkan pemangkin kepada pembangunan wilayah Pantai Timur. Saya tengok ada pengabaian dari segi perancangan kerajaan," katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini, lapor Sinar Harian.

Beliau yang juga anggota Parlimen Kubang Kerian turut mempersoalkan mengenai defisit belanjawan yang tidak disebut Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

"Bajet ini kita tak tahu berapa sebenarnya jumlah pendapatan dan perbelanjaan. Cuma kita tahu jumlah perbelanjaan. Berapa kita defisit sebenarnya? Tidak ada satu angka yang jelas tentang jumlah defisit belanjawan negara," katanya.

'Lebihkan orang bandar'

Sementara itu, Anggota Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali pula berkata, Belanjawan 2019 menganaktirikan penduduk luar bandar.

"Yang lebih ketara banyak peruntukan melibatkan orang bandar, tetapi untuk orang kampung, petani nelayan dan penoreh getah tidak memadai. 

"Bajet kali ini adalah hadiah kepada orang di bandar yang menyokong PH dan satu sindiran kepada orang Melayu di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah yang solid memberikan sokongan kepada Umno dan Pas.

"Di mana keadilan yang dilaung-laungkan? Saya rasa PH gagal memberikan bajet terbaik untuk kali pertama mereka membentangkannya," katanya.