KGBS minta agih sama rata peruntukan pendidikan kepada S'wak
Sarawak perlu mendapat agihan sama rata atau terbesar untuk menambah baik sektor pendidikan negeri berikutan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah penerima peruntukan yang terbesar berjumlah RM60.2 bilion atau 19.1 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan tahun 2019.
Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Ahmad Malie berkata pengumuman seperti peruntukan bagi bantuan pendidikan berjumlah RM2.9 bilion serta RM100 juta bagi pembinaan semula sekolah daif amat bertepatan dengan situasi sektor pendidikan negeri yang amat memerlukan perhatian.
Beliau berkata masih banyak sekolah di Sarawak yang memerlukan usaha menaik taraf dan penyelengaraan demi mewujudkan prasarana yang baik, manakala ramai murid-muridnya berada pada kategori miskin dan amat memerlukan bantuan supaya mereka dapat menikmati sistem pendidikan yang disedikan kerajaan.
“Melihat kepada faktor ini amat wajar Sarawak diutamakan dalam pengagihan peruntukan supaya dapat mewujudkan prestasi murid yang seimbang seperti yang dihasratkan KPM," katanya kepada Bernama hari ini.
Sementara itu, Ahmad yang juga Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Sarawak berkata peruntukan RM400 juta untuk penyelenggaraan dan membaik pulih kuarters kerajaan yang dikenal pasti perlu diagihkan secara efisien bagi memberi memberi manfaat kepada penjawat awam negeri.
- Bernama

