Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Susah nak fahami keutamaan Hadi, kata DAP
Diterbitkan:  Nov 3, 2018 1:18 PM
Dikemaskini: 10:57 AM

Seorang pemimpin DAP berkata dia tidak faham bagaimana Datuk Seri Abdul Hadi Awang meletakkan keutamaan dalam tugasnya sebagai wakil rakyat apabila gagal hadir semasa Belanjawan 2019 dibentangkan semalam.

Menurut Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, Lim Lip Eng, ketika seluruh negara menantikan pembentangan belanjawan berkenaan untuk mengetahui dasar fiskal baru kerajaan, Abdul Hadi tidak muncul di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun kata Lip Eng, Abdul Hadi masih mempunyai masa untuk hadir untuk hal lain yang berlaku di parlimen.

"Abdul Hadi muncul di parlimen ketika demonstrasi membantah ratifikasi (pengesahan perjanjian) Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Diskriminasi Kaum (ICERD), tetapi gagal menghadirkan diri untuk perkara yang lebih penting, seperti pembentangan belanjawan sulung Pakatan Harapan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam untuk kali pertama dalam sejarah negara belanjawan negara dibentangkan oleh menteri yang bukan dari BN. Ia dilakukan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beberapa perkara dibangkitkan dalam pembentangan itu termasuk subsidi petrol bagi pemilik kenderaan terpilih, Bayaran Sara Hidup dan peruntukan untuk memajukan bidang pendidikan Islam.

Abdul Hadi yang juga anggota parlimen Marang tidak hadir.

Lip Eng yang juga Anggota Parlimen Kepong berkata amat malang apabila Abdul Hadi sebagai pemimpin PAS tidak hadir dan mewakilkan timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, untuk memberi reaksi kepada belanjawan tersebut.

"Malang bagi Marang, ketidakhadirannya di parlimen menjadikan beliau semakin tidak relevan dalam politik penggubalan dasar.

"Barangkali beliau hanya mampu bermain politik dengan sentimen perkauman dan agama demi kelangsungannya sendiri.

"Bagaimana beliau menyusun keutamaannya, saya tidak akan pernah faham," kata Lip Eng.

Sementara itu semakan Malaysiakini mendapati Abdul Hadi berada di Rusila, Marang untuk menyampaikan kuliah dhuha sebelum kemudian menjadi khatib dan imam untuk solat Jumaat di masjid tersebut semalam.

Beliau kemudian dilaporkan bermusafir ke Istanbul, Turki untuk menghadiri Muktamar Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS). 

Sebagai rekod Abdul Hadi ialah naib ketua KUIS.

 

 

Lihat Komen
ADS