Pengguna di Tawau disaran menyalurkan sebarang aduan berkaitan pelanggaran pematuhan penjualan oleh peniaga dengan memberi bukti termasuk gambar menerusi talian WhatsApp 019-2794317.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Tawau, Aslani Dabi berkata segala aduan yang disalurkan ke nombor WhatsApp dan talian E-aduan atau aduan di pejabat akan disiasat dalam tempoh 24 jam.

“Ada juga aduan diterima tidak berkaitan dengan akta kami iaitu penipuan jualan ikan busuk yang tular baru-baru ini, kami terima aduan itu tetapi kami salurkan pada agensi berkaitan iaitu Jabatan Perikanan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program pelancaran skim kawalan harga sempena musim perayaan Deepavali bagi Tawau di sini, hari ini yang disempurnakan Pegawai Perhubungan Parlimen Kalabakan, Rudy Romeo.

Dalam pada itu, Aslani berpuas hati dengan sikap peniaga di pasar tanjung Tawau yang mematuhi peraturan dan menjual barangan kawalan pada harga siling yang ditetapkan.

Beliau turut mengingatkan pengguna bersikap bijak memilih dan melaporkan supaya tidak menjadi mangsa kepada penjual yang tamak dan memikirkan keuntungan semata-mata.

“Sepanjang 10 hari skim kawalan harga sempena Deepavali ini berjalan, pihak kami akan buat pemantauan setiap masa dengan 18 pegawai penguat kuasa akan bertugas," katanya.

- Bernama