Undian anggota PKR di Sabah adalah penting dalam menentukan pucuk kepimpinan parti itu di peringkat pusat, kata Naib Presidennya Nurul Izzah Anwar.

Nurul Izzah berkata jumlah keanggotaan PKR di Sabah adalah kedua tertinggi di Malaysia selepas Selangor, dengan kira-kira 150,000 anggota bagi kesemua 25 cabang PKR di Sabah.

“Sabah ini penting dan istimewa kerana sebahagian besar peratusan pengundi dari Sabah akan menentukan pucuk kepimpinan PKR di peringkat pusat.

“Begitulah bagaimana kita menobatkan rakyat Sabah untuk bersama-sama kita menyelusuri masa depan keadilan dan atas dasar itu kita mohon dokongan secara berterusan ke arah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau suasana sekitar pusat pemilihan PKR bagi cabang Kota Kinabalu di Sekolah Menengah Kian Kok, Likas, dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Dalam pada itu, Nurul Izzah yang turut meninjau pusat pemilihan PKR cabang Sepanggar dan Tuaran berkata, beliau berpuas hati dengan proses pemilihan parti di kawasan berkenaan yang turut berjalan lancar.

Bagaimanapun, katanya, segala kekurangan dalam proses pemilihan parti pada kali ini akan diperbaiki untuk masa akan datang.

Nurul Izzah berkata Sabah turut menunjukkan trend konsisten dalam pengundian pada proses pemilihan parti di peringkat negeri apabila anggota parti itu komited melaksanakan tanggungjawab mereka memilih kepimpinan parti meskipun berada di pedalaman.

“Sabah sudah tentu sememangnya mencatatkan peratusan sangat baik (keluar mengundi) berbanding dengan negeri lain dan saya hargai kerana bukan mudah untuk (sebahagian) mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Saya amat terkesan kerana itu komitmen keadilan sentiasa kita cuba bawa semua agenda rakyat, kebajikan Sabah yang juga disimbolkan menerusi bagaimana kita menjaga anggota sebagai salah satu isu arus perdana,” katanya, yang turut mempertahan jawatan naib presiden pada pemilihan parti kali ini.

Proses pemilihan PKR di Sabah akan berlangsung selama dua hari mulai hari ini melibatkan 25 cabang di seluruh negeri.

Fasa pertama proses pemilihan parti itu dimulakan di 12 cabang melibatkan Kota Kinabalu; Sepanggar; Tuaran; Kota Marudu; Sandakan; Libaran; Batu Sapi; Tawau; Kalabakan; Keningau; Sipitang; Beaufort.

Proses pemilihan PKR akan diteruskan esok di 13 cabang iaitu Putatan; Penampang; Kimanis; Papar; Tenom; Pensiangan; Kudat; Kota Belud; Ranau; Beluran; Kinabatangan; Silam; dan Semporna.

Kira-kira 150,000 anggota PKR di Sabah akan membuat undian pada pemilihan parti itu di 25 cabang di seluruh negeri selama dua hari, mulai hari ini.

Proses pemilihan parti itu dimulakan di 12 cabang pada hari ini membabitkan Kota Kinabalu; Sepanggar; Tuaran; Kota Marudu; Sandakan; Libaran; Batu Sapi; Tawau; Kalabakan; Keningau; Sipitang; Beaufort.

Proses pemilihan PKR akan diteruskan esok di 13 cabang iaitu Putatan; Penampang; Kimanis; Papar; Tenom; Pensiangan; Kudat; Kota Belud; Ranau; Beluran; Kinabatangan; Silam; dan Semporna.

- Bernama