Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Guan Eng: Bukti depan mata, tapi masih percaya penyangak

Pengakuan bersalah bekas pegawai kanan bank Goldman Sachs Group, Tim Leissner menjadi bukti paling kukuh yang menunjukkan skandal 1MDB benar-benar berlaku, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Oleh yang demikian, beliau berkata tidak faham kenapa masih ada orang yang masih percaya kepada 'penyangak' berkenaan.

"Tim Leissner mengaku bersalah dalam tuduhan berkaitan 1MDB dan ini adalah bukti yang paling kukuh apa yang disebut oleh pihak sana adalah satu penipuan besar.

"Memang itu adalah suatu skandal di mana pegawai kanan Goldman Sachs mengakui mereka terlibat dalam penipuan ini. Jadi jangan pula cakap ini tidak berlaku.

"Ini semua berlaku – penipuan besar sampai hari ini ada yang sokong penyangak.

Ini yang saya tidak faham. Bila bukti ini terdedah untuk semua, mengapa mereka boleh percaya pengangak ini? Itu yang saya tak faham," kata Lim tanpa menyebut sebarang nama.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di bangunan parlimen hari ini sebagai mengulas soalan mengenai cabaran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak supaya kerajaan mendedahkan perjanjiang penyelesaian antara Malaysia dan International Petroleum Investment Company (IPIC).

Subjudis perbicaraan mahkamah

Lim berkata Najib hanya membuat cabaran berkenaan selepas beliau didakwa di mahkamah dengan mengetahui kerajaan tidak boleh berbuat demikian kerana ia akan menjadi subjudis terhadap perbicaraan yang sedang berlangsung di mahkamah.

"Saya tidak boleh bercakap mengenai IPIC sekarang. Sebab semuanya sedang dibicarakan di mahkamah," katanya.

Seterusnya, beliau enggan mengulas soalan jika dakwaan Najib mengenai IPIC akan membayar Malaysia sebanyak AS$3.5 bilion sebagai benar. Sebaliknya, Lim berkata hal tersebut akan diserahkan kepada mahkamah.

Pada 25 Oktober lalu mahkamah mengenakan enam pertuduhan jenayah pecah amanah terhadap Najib dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah kerana didakwa mengalihkan RM6.6 bilion daripada tujuannya asalnya untuk membayar IPIC. Kedua-duanya tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan mahkamah.

Leissner didakwa dengan dua tuduhan konspirasi mengubah wang haram dan berkonspirasi dengan warga negara asing untuk melanggar Akta Amalan Rasuah Asing Amerika Syarikat berhubung dengan skandal 1MDB. Leisner mengaku bersalah dan dilaporkan sebanyak AS$ 43.7 juta akan dirampas daripadanya.

Jabatan Keadilan AS (DOJ) juga telah mengenakan pertuduhan terhadap ahli perniagaan Low Taek Jho dan Roger Ng, dan mengingatkan bahawa mereka akan dianggap tidak bersalah sehinggalah dibuktikan sebaliknya di mahkamah.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS