Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mayat ditemui dalam kebakaran dipercayai mangsa bunuh

Mayat lelaki yang ditemui dalam kebakaran di sebuah rumah di Taman Pandan Indah di Kuantan semalam, dipercayai dibunuh sebelum bilik tidurnya dibakar.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Noor Yusof Ali berkata identiti mangsa disahkan sebagai M. Suhairi A Wahab, 35, yang merupakan seorang kerani di Pejabat Tanah dan Galian di Kuantan.

Katanya, mangsa yang masih bujang mempunyai kesan luka di belakang kepala dan muka, selain terdapat kesan terbakar pada bahagian kiri badan.

"Mayat mangsa ditemukan di atas katil di bilik utama dengan timbunan pakaian terbakar di atasnya dan disyaki terdapat unsur jenayah dalam kejadian itu.

"Hasil bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) hari ini, mendapati terdapat kemungkinan mangsa dipukul dengan objek keras," katanya kepada pemberita di Kuantan, hari ini.

Mohd Noor menambah polis menahan dua suspek termasuk rakan serumah mangsa, 34 tahun, yang berasal dari Kuala Nerang, Kedah bagi membantu siasatan.

Suspek pengawal keselamatan

Katanya, suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kuantan, kini ditahan reman sehingga 8 November ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

"Polis juga menahan seorang rakan mangsa yang berusia 35 tahun di Sungai Karang Darat di sini pada pukul 4 petang tadi, yang dipercayai akan dapat membantu siasatan," katanya.

Mohd Noor menambah setakat ini, pihaknya masih menyiasat motif kejadian mangsa yang merupakan anak bongsu daripada lapan beradik itu dibunuh.

Sementara itu, jiran mangsa yang enggan dikenali berkata beliau menyedari berlakunya kebakaran itu apabila melihat asap keluar daripada rumah tersebut sekitar pukul 10.30 malam.

"Kami hanya mengetahui mangsa yang masih bujang menetap di rumah itu bersama seorang rakan sejak tiga tahun lalu tetapi rakannya tidak berada di rumah semasa kebakaran," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS