Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Putrajaya pertahan belanjawan dari kritikan
Diterbitkan:  Nov 3, 2018 8:15 PM
Dikemaskini: 12:15 PM

Kerajaan akan mempertahankan Belanjawan 2019, yang juga belanjawan sulung dibentangkan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN), daripada segala kritikan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebagai Pengerusi HARAPAN, Dr Mahathir berkata, secara asasnya peruntukan belanjawan yang dibentangkan itu adalah tinggi walaupun jangkaan awal pihak tertentu adalah sebaliknya.

“Banyak pihak berpendapat Belanjawan 2019 adalah yang kecil disebabkan kerajaan berdepan masalah kewangan.

“Sebaliknya kita dapat perbesarkan jumlah yang diperuntukan dan kita sepakat pertahankan belanjawan itu daripada sebarang kritikan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) di Putrajaya hari ini.

Belanjawan 2019, yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam, memperuntukkan sebanyak RM314.5 bilion untuk perbelanjaan berbanding kira-kira RM290.4 bilion pada Bajet 2018. Daripada jumlah itu, RM259.8 bilion adalah bagi perbelanjaan mengurus dan RM54.7 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Dr Mahathir berkata, kerajaan dan Majlis Presiden HARAPAN mendapati rata-rata pihak berkepentingan menerima baik pengumuman yang dibuat dalam belanjawan itu.

Ketika kerajaan berdepan masalah kewangan, Belanjawan 2019 mendapat suntikan dana bantuan daripada Petronas sebanyak RM30 bilion bagi membolehkan pelbagai segmen rakyat diberi perhatian, katanya.

“Walaupun RM30 bilion itu besar tetapi kita kena ingat negara berdepan hutang lebih RM1,000 bilion, bersamaan RM1 trillion, satu masalah yang kita terpaksa hadapi dalam jangka masa lama.

“Tetapi, kita telah berbincang bagaimana untuk tangani sebahagian daripada masalah hutang itu, sekaligus dapat memberi perhatian kepada segmen rakyat dalam belanjawan kali ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata HARAPAN akan menganjurkan jamuan malam Pakatan Harapan bagi mengumpul dana untuk menguruskan parti pada 9 Disember ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Beli meja tak dapat layanan istimew

Ditanya sama ada majlis itu boleh dijadikan landasan pihak tertentu ‘meraih perhatian kerajaan’ dengan membeli meja, perdana menteri berkata perkara itu tidak akan berlaku kerana kerajaan mengamalkan tender terbuka dalam setiap projek yang dikeluarkan.

“Pemberi derma (beli meja) tidak akan diberikan layanan istimewa bagi mengelak HARAPAN dipengaruhi syarikat atau ahli perniagaan tertentu.

“Sesiapa sahaja boleh menderma untuk majlis itu kerana sebarang pembelian meja tidak akan mempengaruhi urusan kerajaan kerana hal berkaitan tender dan kelulusan projek dikendalikan pegawai kerajaan,” katanya.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS