Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Habis insurans B40, pesakit akan dirujuk ke hospital k'jaan - PSM
Diterbitkan:  Nov 3, 2018 11:06 PM
Dikemaskini: 3:06 PM

BELANJAWAN | Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyambut baik keputusan kerajaan untuk menyediakan insurans kesihatan percuma sehingga RM8,000 bagi sakit kritikal kepada golongan berpendapatan rendah (B40), kata Setiausaha Agungnya A Sivarajan.

Bagaimanapun, parti itu bimbang peraturan hospital sedia ada akan menyebabkan insurans itu dilupuskan dengan begitu cepat sekali.

"Walaupun kita mengalu-alukan hasrat kerajaan membantu golongan B40 menampung kos rawatan kritikal ini, tetapi kita risau peruntukkan RM8000 akan dilupuskan dengan cepat sekali.

"Memang menjadi kenyataan bahawa, jika rawatan tersebut dijalani di hospital swasta, pihak swasta lebih cenderung untuk mengenakan caj yang tinggi jika seseorang itu dilidungi oleh insurans, kerana bayaran mereka dijamin oleh insurans.

"Pelbagai pemeriksaan diagnostic di cadangankan walaupun ianya tidak perlu. Ianya akan menaikkan bil hospital dan melupuskan peruntukan RM8000 ini," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Dibebani caj kelas pertama

Menurut Sivarajan, apabila pesakit kehabisan peruntukan wang itu mereka akan dirujuk ke hospital kerajaan.

"Apabila para pesakit kehabisan peruntukkan RM8000 ini dan tidak mampu bayar dari poket sendiri rawatan seterusnya di hospital swasta, maka mereka akan dirujuk ke hospital kerajaan.

"Tetapi mengikut Akta Fi Perubatan yang sedang dikuatkuasa sekarang, para pesakit yang dirujuk dari hospital swasta dikenakan caj kelasp pertama di hospital kerajaan.

 

"Ianya berlipat kali ganda caj kelas biasa. Maka mereka yang dilindungi insurans pada peringkat awalnya akan dibebani oleh caj kelas pertama kemudian," jelasnya lagi.

Sehubungan itu, PSM menggesa kerajaan mengkaji semula akta berkenaan dan menuntut pembinaan lebih banyak hospital.

Bagaimanapun, PSM mengalu-alukan cadangan kempen kerajaan untuk menggalakkan membeli barangan buatan tempatan tetapi berkata agak sukar dilaksanakan jika pendapatan pekerja tidak bertambah.

"Tetapi jika warga pekerja tidak mempunyai gaji yang mencukupi, macam mana pula mereka akan membeli barangan keluaran tempatan dan menjayakan industri tempatan.

"Gaji yang munasabah merupakan faktor yang penting untuk menjana ekonomi domestik," jelasnya.

Sivarajan juga mendesak kerajaan mengiktiraf hak tanah adat masyarakat Orang Asli.

"Apakah gunanya segala infrastruktur jika cara hidup mereka yang bergantung pada hutan diceroboh oleh kontraktor pembalak, pelombong dan pihak TNB yang hendak menengelamkan kampung mereka untuk membina empangan hidro.

"Maka PSM mencadangkan Bajet 2019 memperuntukkan suatu dana khas untuk membuat peta lakaran tanah adat bersama dengan komuniti Orang Asli dan kerja-kerja mengazetkannya dijalankan dengan lancar.

"Barulah iainya bermaksud memperkasakan Orang Asli kita," katanya lagi. 

 

Lihat Komen
ADS