PTPTN: BN tak pernah terfikir buat begitu kepada pelajar, kata Najib
Datuk Seri Najib Razak menyifatkan potongan pinjaman PTPTN kepada graduan ijazah sarjana muda kelas pertama daripada isi rumah B40 (berpendapatan rendah) sahaja - seperti yang diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2019 - adalah "tidak betul".
Beliau berkata ini kerana ia telah mengabaikan sejumlah golongan M40 (pertengahan) yang akan terkesan dengan langkah itu.
"Golongan M40 seperti isi rumah yang berpendapatan RM5,000 sebulan dengan lebih daripada dua anak tentu akan terkesan dengan langkah ini.
"Mereka ini yang berusaha untuk beberapa tahun lalu dengan matlamat mendapat ijazah kelas pertama dan mendapat pengecualian bayaran balik PTPTN tentu akan kecewa dengan langkah kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) secara mengejut ini," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Untuk rekod, PTPTN sebelum ini memberikan pelepasan bayaran balik kepada semua pelajar yang mendapat ijazah sarjana muda kelas pertama.
Bagaimanapun ketika pembentangan belanjawan Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan potongan pinjaman kepada mereka daripada golongan B40 sahaja.
Najib berkata kerajaan BN sebelum ini tidak pernah terfikir untuk mengenepikan pelajar daripada golongan M40 seperti ini.
"Bukankah pengecualian itu juga satu bentuk pendidikan percuma sebagaimana dijanjikan HARAPAN sendiri? Yang semudah itu pun ditarik balik," katanya lagi.
Selain itu, kerajaan juga memperkenalkan beberapa langkah baru seperti potongan cukai kepada syarikat yang membantu melunaskan baki pinjaman pekerja, potongan gaji berjadual peminjam berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan dan penghapusan baki pinjaman kepada peminjam berusia lebih 60 tahun dengan pendapatan kurang daripada RM4,000.
Menurut laporan Sinar Harian 2 November lalu, ketua penerangan Umno merangkap bekas pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah membangkitkan janji manifesto HARAPAN - antaranya penangguhan bayaran sehingga gaji mencecah RM4,000 - yang bertentangan dengan pengumuman itu.
Perkara itu diakui Anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang turut terlibat merangka manifesto PRU ke-14 HARAPAN.
Justeru, katanya lagi, perkara itu akan terus dibincangkan termasuk dalam mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN.

