'Saya bangkitkan isu IPIC di parlimen tapi Guan Eng ponteng'
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau sudah membangkitkan isu International Petroleum Investment Company (IPIC) di Dewan Rakyat sebelum pendakwaan berhubung firma pelaburan itu dilakukan ke atasnya.
Namun, jelas Najib, Menteri Kewangan Lim Guan Eng "ponteng" dari menghadiri perbahasan parlimen pada hari berkenaan.
"Ini tidak benar. Saya juga pernah menyeru mereka berbuat demikian di dalam perbahasan saya di Dewan Rakat sebelum saya didakwa untuk kes IPIC tetapi ketika itu, Lim ponteng dari Dewan.
"Dia juga memberi alasan bahawa dia dia tidak boleh bercakap tentang IPIC sekarang kerana ia kes di mahkamah tetapi rekod menunjukkan dia terus bercakap tentang kes ini termasuk di dalam ucapan Belanjawan 2019 beliau," kata Najib dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Bekas presiden Umno itu berkata demikian sebagai menafikan tuduhan Lim bahawa beliau sengaja mencabar kerajaan mendedahkan perjanjian dengan IPIC selepas pendakwaan.
Semalam, Lim mendakwa Najib maklum bahawa kerajaan tidak boleh mendedahkan maklumat berkenaan kerana akan subjudis terhadap perbicaraan mahkamah yang sedang berlangsung.
Sementara itu, dalam kenyataan sama Najib menegaskan beliau tidak dapat mendedahkan perjanjian penyelesaian itu ketika menjadi perdana menteri kerana melibatkan kerajaan asing.
"Saya berpendirian bahawa kerajaan tidak seharusnya dengan mudah untuk mencetuskan pergaduhan dengan negara lain dan saya lebih memilih untuk mencari jalan penyelesaian secara baik dan tanpa kekecohan.
"Ia sentiasa menjadi objektif saya untuk mendapatkan kembali setiap sen wang 1MDB dan tiada wang hilang.
"Oleh itu, kerajaan dulu pernah membuat dua perjanjian penyelesaian dalam tahun 2015 dan 2017 bagi mencapai matlamat ini," katanya.
Najib, yang juga merupakan bekas menteri kewangan, menuduh HARAPAN cuba menyembunyikan usaha kerajaan lama yang diterajuinya untuk menyelesaikan masalah berhubung IPIC dan mendapatkan semula wang 1MDB.
"Mereka mahu gunakannya (isu ini) untuk terus memburukkan nama saya.
"Saya ingin pulangkan soalan kepada Lim: Mengapa kerajaan HARAPAN tidak mahu meneruskan usaha dengan IPIC untuk memenuhi klausa perjanjian bagi mendapatkan balik wang dari IPIC sebelum 31 Disember 2020?
"Adakah usaha untuk mendakwa saya lebih penting dari mendapatkan semula wang 1MDB dan menjaga hubungan negara dengan kerajaan Abu Dhabi?" soalnya.

