Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
HARAPAN Johor tubuh Majlis Setiausaha
Diterbitkan:  Nov 4, 2018 4:32 PM
Dikemaskini: 8:32 AM

Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor menubuhkan sebuah Majlis Setiausaha yang berfungsi sebagai sekretariat bagi melicinkan gerak kerja gabungan berkenaan di negeri ini.

HARAPAN Johor menerusi kenyataan hari ini berkata penubuhan Majlis Setiausaha itu diputuskan dalam mesyuarat HARAPAN Johor, di Johor Bahru, 29 Oktober lepas.

"Majlis Setiausaha tersebut akan diwakili oleh beberapa pimpinan dari setiap parti komponen. Majlis ini akan berfungsi sebagai sekretariat bagi melicinkan gerak kerja HARAPAN dan memperkemaskan lagi struktur pentadbiran HARAPAN di negeri ini," menurut kenyataan itu.

HARAPAN Johor menerusi mesyuarat tersebut turut mengambil beberapa ketetapan atas semangat mereformasi sistem pentadbiran dan politik negeri ini antaranya serius menjadikan parti-parti komponennya sebagai parti yang berjuang untuk seluruh rakyat Malaysia merentasi kaum, bangsa, bahasa, agama mahupun budaya.

Menurut kenyataan tersebut, dalam hal pelantikan anggota majlis di negeri ini, HARAPAN Johor mengulangi penegasan bahawa setiap parti hendaklah seboleh mungkin mengemukakan calon-calon pelbagai bangsa.

"HARAPAN Johor tidak mahu menjadi BN 2.0 yang menjadikan tugas menjaga rakyat mengikut bangsa diekslusifkan kepada parti-parti tertentu sahaja.

"Sebaliknya, HARAPAN Johor melihat bahawa tugas membela rakyat adalah tanggungjawab bersama dan ia merupakan suatu amanah yang besar bagi memenuhi hak serta keperluan rakyat untuk hidup dengan sempurna, sejahtera dan bermaruah dalam negeri dan negara yang merdeka," menurut kenyataan itu.

Pimpinan HARAPAN Johor turut mengambil maklum dan mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Datuk Osman Sapian atas pelantikan beliau sebagai pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) negeri Johor.

Pelantikan beliau mampu mengukuhkan hubungan HARAPAN negeri seterusnya melicinkan agenda pembaharuan dalam pentadbiran kerajaan HARAPAN, menurut kenyataan itu lagi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS