Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ATM rampas 143 kg daun ketum cuba seludup ke Thailand
Diterbitkan:  Nov 4, 2018 5:06 PM
Dikemaskini: 9:06 AM

Angkatan Tentera Malaysia menerusi pasukan 2 Rejimen Sempadan (2RS) menahan seorang remaja warga Thailand yang disyaki cuba menyeludup 143 kilogram (kg) daun ketum bernilai hampir RM13,000 ke negaranya berhampiran Pos Sahara dekat Padang Terap di Kedah pagi tadi.

Panglima 6 Briged Brigadier Jeneral Datuk Abdul Aziz Ismail berkata remaja lelaki berusia 18 tahun itu ditahan pukul 5 pagi ketika membawa beberapa guni putih berisi daun ketum menggunakan motosikal bersama dua lagi rakannya yang menunggang sebuah motosikal lain.

Beliau berkata pasukan itu yang diketuai Koperal Zulkifly Ahmad sedang membuat rondaan sebelum terserempak dengan tiga lelaki berkenaan dalam keadaan mencurigakan sebelum menahan mereka.

"Ketika cuba menahan mereka, dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal berjaya melarikan diri ke kawasan semak manakala remaja terbabit yang menunggang bersendirian berjaya ditahan dan pemeriksaan lanjut menemui enam guni daun ketum yang siap diikat dan diangkut menggunakan dua motosikal terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Aziz berkata daun ketum berkenaan dipercayai untuk diseludup ke negara jiran berikutan harga dan permintaan yang tinggi di Thailand.

Beliau berkata pasukan itu turut merampas dua motosikal jenis Honda Wave dan Yamaha Spark untuk tindakan lanjut.

Katanya remaja terbabit yang merupakan pembantu kedai makan di Thailand bersama barang yang dirampas kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap untuk siasatan lanjut.

- Bernama

Lihat Komen
ADS