Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Saya tak kata 1MDB bukan punca BN kalah
Diterbitkan:  Nov 4, 2018 6:40 PM
Dikemaskini: 12:35 PM

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan beliau tidak berkata 1MDB bukan faktor kekalahan BN dalam PRU 14 lalu, maka atas sebab itulah beliau pernah mengarahkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen menjalankan siasatan.

"Saya tak kata 1MDB tidak menjadi faktor kekalahan BN.

"Jika saya percaya bahawa tiada apa yang salah tentang 1MDB, sudah tentu saya tidak akan mengarahkan PAC yang dianggotai ahli parlimen pembangkang dan kerajaan untuk siasat atau menandatangani penyelesaian dengan IPIC bagi mendapatkan semula wang yang dikatakan hilang," katanya dalam suatu kenyataan di Facebook hari ini.

Najib mengulas kenyataan pemimpin Umno, Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Nazri Aziz yang menyebut bekas perdana menteri itu tidak mahu mengakui skandal 1MDB sebagai punca kekalahan BN pada PRU14 lalu.

Najib berkata walaupun Nazri dan Khairy tidak hadir majlis sembang santai beliau di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam, namun mereka mengeluarkan pendapat berdasarkan laporan berita yang tidak tepat.

"Nazri Aziz, Khairy tidak hadir di acara sembang santai saya bersama rakan-rakan FB saya semalam namun mengeluarkan pendapat mereka bersandarkan kepada laporan berita yang tidak tepat dan nakal.

"Sudah tentu jika mereka hadir sama-sama atau menonton video FB live, sudah tentu mereka tahu apa yang saya maksudkan tentang propaganda tidak benar dan penipuan dibuat mengenai 1MDB," katanya.

Ambil tanggungjawab

Menurut bekas presiden Umno lagi, beliau mengambil tanggungjawab kekalahan BN dengan melepaskan semua jawatan dalam parti.

"Tetapi saya percaya setiap seorang daripada kita bertanggungjawab terhadap kekalahan ini.

"Saya ambil tanggungjawab itu dan melepaskan semua jawatan serta tidak bertanding dalam apa apa jawatan parti atau dilantik bagi apa apa jawatan.

"Tak usahlah bimbang tentang kelantangan saya di sosial media atau sokongan untuk sesi sembang santai semalam," katanya lagi.

Semalam dalam majlis di PWTC itu, Najib menjelaskan BN tewas pada PRU14 kerana penipuan dan fitnah pihak lawan.

Bagaimanapun, Najib tidak menyebut 1MDB dalam ucapannya itu.

"Kita kalah kerana penipuan, fitnah, dan janji palsu. Kalau even playing field, saya percaya Umno boleh menang," katanya.

Beliau juga menegaskan akan kekal bersama Umno.

"Darah daging saya Umno dan BN. Kalau benam dalam air 10 kali pun, saya tetap BN." katanya.

Lihat Komen
ADS