Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Belanjawan 2019: K'jaan buat hutang baru - Tok Mat
Diterbitkan:  Nov 4, 2018 8:52 PM
Dikemaskini: 1:20 PM

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan mendakwa tema Belanjawan 2019, “Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera”, tidak selari dengan dasar polisi fiskal yang ingin dilaksanakan kerajaan.

Beliau berkata dengan meletakkan kedudukan fiskal dan ekonomi negara pada tahap risiko ketidakstabilan lebih tinggi serta pengurusan fiskal yang kembali terikat kepada pasaran minyak dunia, ekonomi negara sebenarnya telah menjadi kurang dinamik.

“Kerajaan menganggarkan defisit fiskal bagi tahun ini pada kadar 3.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu jauh lebih besar berbanding unjuran kadar defisit 2.8 peratus dalam Belanjawan 2018.

“Kadar defisit 3.7 peratus kepada KDNK ini bersamaan dengan RM53.3 billion iaitu RM13 billion lebih tinggi daripada defisit tahun sebelumnya dan merupakan defisit tertinggi dalam sejarah negara.

“Ini juga bermakna kerajaan persekutuan akan terus membuat hutang baru, malah dengan jumlah yang jauh lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya hari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan itu berkata pembentangan langkah-langkah, insentif serta inisiatif dalam Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Jumaat lalu, tidak menggambarkan satu hala tuju dasar fiskal negara yang jelas apatah lagi tersusun mahupun berwawasan.

 

Selain itu, Mohamad mendakwa dasar polisi fiskal yang dibentangkan kurang mempertimbangkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka yang kecil.

 

“Dasar polisi fiskal kerajaan tidak mengambil kira risiko ekonomi global yang semakin meningkat di mana kebarangkalian berlakunya krisis kewangan baharu dalam masa terdekat semakin jelas disokong oleh data-data terkini.

“Kerajaan seolah-olah beranggapan bahawa pengurusan fiskal negara hanya tertakluk kepada keadaan ekonomi domestik dan tidak dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran dan juga tidak memberikan apa-apa implikasi kepada kestabilan serta daya tahan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata jika kerajaan baru betul-betul berpegang kepada pendirian fiskal seperti yang dinyatakan, mereka tidak akan menambah hutang dengan kadar yang jauh lebih tinggi dan meletakkan kedudukan kewangan kerajaan seterusnya ekonomi negara terdedah kepada risiko ketidakstabilan sekiranya sumber pembiayaan domestik ini menyusut lebih pantas akibat kejutan luaran di luar jangkaan.

 

 

 

“Komitmen ke arah konsolidasi fiskal sepatutnya menjadi keperluan mendesak apabila merangka dasar dan polisi ekonomi negara masa kini apabila akaun semasa imbangan luar negara ini dijangka terus mengecil.

“Ia akan dilihat sebagai satu jaminan bahawa pembiayaan hutang kerajaan akan terus dapat diperoleh daripada sumber domestik,” katanya.

Katanya ini penting untuk memastikan penarafan bon atau pinjaman kerajaan di pasaran kewangan akan terus kekal berada pada A- (Standard &Poor’s) atau A3 (Moody’s) iaitu 3 tangga di atas penarafan minimum BBB- atau B.

Mohamad turut mendakwa dalam Belanjawan 2019, inisiatif untuk rakyat terlalu kecil untuk memberi impak yang bermakna atau cukup signifikan bagi merangsang ekonomi, manakala fokus kepada jaringan keselamatan sosial rakyat berpendapatan rendah diketepikan untuk memberi laluan kepada agenda pembangunan yang mesra korporat atau perniagaan.

“Oleh itu, aspirasi ‘kesejahteraan rakyat’ tidak cukup signifikan dalam Belanjawan 2019 ini untuk dijadikan sebahagian daripada tema utama,” katanya.

 

 

 

- Bernama

Lihat Komen
ADS