Mahkamah Persekutuan akan memutuskan sama ada perdana menteri merupakan penjawat awam atau sebaliknya.

Ini selepas panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan membenarkan saman misfeasans yang difailkan Anggota Parlimen Damansara Tony Pua terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Keputusan itu dibuat oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum bersama Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim dan hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Alizatul Khair Othman.

Peguam Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun mengakui salah satu daripada persoalan yang dibangkitkan dengan penambahan kecil.

Saman itu sebelum ini dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi selepas ia memutuskan Najib bukan penjawat awam.

Dalam mengekalkan keputusan berkenaan, hakim Mahkamah Rayuan Yeo Wee Siam dalam menulis penghakimannya pada Julai tahun ini mengatakan sudah tiba masanya definisi jelas seorang penjawat awam dibuat.

Di bawah prinsip undang-undang am (common law), seseorang penjawat awam juga termasuk anggota kabinet dan perdana menteri manakala perlembagaan menetapkan sebaliknya.

Pua, yang diwakili oleh peguam Malik Imtiaz Sarwar berkata perkara ini sepatutnya diputuskan melalui perbicaraan dan bukan dibatalkan seperti yang berlaku dalam saman serupa yang difailkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Khairuddin Abu Hassan.

Rayuan Mahathir dan Khairuddin ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada Februari oleh panel yang diketuai ketua hakim negara ketika itu Tun Mohd Raus Sharif.

Pua memfailkan saman misfeasans terhadap Najib pada Januari 2017.

[Baca berita penuh]