Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pas tanpa had 30 hari Rapid boleh diguna 1 Jan

Penggunaan pas perjalanan tanpa had 30 hari yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 hanyalah untuk pemegang MyKad, MyTentera dan MyKid yang berusia tujuh hingga 12 tahun, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Pas perjalanan tanpa had 30 hari berharga RM100 itu boleh digunakan di semua perkhidmatan rel Rapid termasuk Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), monorel serta BRT Sunway dan semua perkhidmatan bas kendalian Rapid di Lembah Klang, katanya.

"Pas perjalanan berkenaan boleh digunakan mulai 12.01 tengah malam 1 Jan depan dan boleh ditambah nilai di mana-mana lokasi yang menawarkan perkhidmatan tambah nilai Touch'nGo,” katanya dalam sidang media mengenai pas perjalanan itu di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya hari ini.

Mengenai pas perjalanan tanpa had 30 hari berharga RM50 pula, ia adalah untuk semua bas kendalian Rapid di Lembah Klang, katanya.

Loke berkata pengguna boleh melanggan pas berkenaan menggunakan fungsi Touch'nGo pada ketiga-tiga kad pengenalan diri berkenaan di semua stesen LRT, MRT dan empat hab bas selepas majlis pelancaran pas perjalanan berkenaan pada bulan depan.

"Penggunaan pas perjalanan ialah untuk tempoh 30 hari tidak kiralah bulan itu mempunyai 28 hari atau 31 hari. Ia tidak berasaskan bulan dan boleh digunakan pada bila-bila masa. 

"Sebagai contoh sekiranya seorang pengguna mula menggunakan pas perjalanan berkenaan pada hari ini (5 Nov) maka pas berkenaan boleh digunakan sehingga 4 Dis," katanya.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 pada Jumaat mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM240 juta untuk memperkenalkan pas bulanan RM100 tanpa had perjalanan meliputi perkhidmatan rel dan bas RapidKL mulai 1 Jan 2019.

Loke berkata pelaksanaan pas perjalanan tanpa had 30 hari dijangka memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 45 peratus pengguna perkhidmatan rel Rapid dan hampir 100 peratus pengguna perkhidmatan bas Rapid di Lembah Klang dengan menawarkan kos penjimatan yang sangat ketara.

Sebagai contoh, katanya seorang pengguna perkhidmatan rel dan bas yang tinggal di Kajang dan bekerja di KLCC perlu membayar sekitar RM280 sebulan atau RM6.40 untuk perjalanan satu hala dan dengan melanggan Pas Perjalanan Tanpa Had 30 hari bernilai RM100 itu, pengguna tersebut dapat menjimatkan perbelanjaan sebulan hampir RM100.

Loke bagaimanapun menegaskan pas berkenaan tidak boleh digunakan untuk bayaran letak kereta di stesen-stesen pengangkutan awam memandangkan ia bertujuan menggalakkan pengguna menggunakan perkhidmatan awam.

- Bernama

Lihat Komen
ADS