10 cerita "panas" sepanjang 2005
Tahun 2005 akan menutup tirainya - meninggalkan seribu kenangan, peristiwa suka duka yang memberi kesan kepada pelbagai pihak. Lanjutan tragedi Tsunami pada hujung 2004 mewarnai awal 2005 untuk tempoh yang agak lama.
Tahun 2005 akan menutup tirainya - meninggalkan seribu kenangan, peristiwa suka duka yang memberi kesan kepada pelbagai pihak. Lanjutan tragedi Tsunami pada hujung 2004 mewarnai awal 2005 untuk tempoh yang agak lama.
Selepas reda cerita-cerita Tsunami, rakyat Malaysia dihidang pula dengan cerita dan laporan yang menyentuh perasaan, moral dan maruah mereka. Beberapa isu membuat rakyat marah hinggakan para pembuat dasar kepanasan.
Antara isu panas yang memenuhi ruang media ialah kes bogel dan ketuk ketampi di lokap polis, penswastaan bekalan air, pilihanraya kampus dan tingkah laku pegawai-pegawai penguatkuasa yang memualkan serta perang mulut di parliament, rebutan kuasa dalam parti komponen Barisan Nasional serta silap faham dengan negara-negara jiran berhubung beberapa isu keselamatan dan pekerja asing.
Sejauh manakah penting dan berpengaruhnya isu-isu ini bagi kita? Kami serahkan kepada para pembaca untuk menilai 10 cerita paling hangat sepanjang 2005.
Tsunami
Gempa bumi berukuran 9.0 pada skala Ritcher menggegar dasar laut Sumatra pada 26 Disember 2004 hingga membentuk ombak besar yang meranapkan pantai di sepanjang Lautan Hindi termasuk utara Malaysia.
Jumlah yang dianggarkan terkorban ialah 74 orang di Malaysia, 165,000 di Indonesia dan 30,000 di Sri Lanka dan 8,000 di Thailand.
Peri kemanusiaan seluruh rakyat Malaysia diuji oleh bencana ini. Tabung bencana Tsunami ditubuhkan dan sebanyak RM78.9 juta dapat dikumpul dengan RM51.4 juta disalurkan sebagai pampasan kepada keluarga korban Tsunami dan bakinya sebagai bantuan pemulihan di Pulau Pinang dan Kedah.
Bencana ini meninggalkan pengajaran yang besar dan kerajaan negara-negara terbabit telah mewujudkan sistem amaran awal Tsunami. Malaysia memperuntukkan RM19 juta untuk pemasangan sistem tersebut menjelang hujung tahun ini.
Jabatan Kaji Cuaca pula menjadi lebih pro-aktif apabila ia menyediakan amaran gempa bumi menerusi sistem pesanan ringkas (SMS). Selepas Tsunami melanda, Malaysia mengalami beberapa gegaran kecil pada bulan Mac apabila Sumatera sekali lagi digegar bencana itu.
Bagaimanapun soal pengagihan wang derma menjadi persoalan selepas itu kerana ada mangsa mengadu walaupun selepas enam bulan tragedi itu berlalu, mereka masih belum mendapat bantuan yang dijanjikan.
Terdapat RM27.5 juta lagi wang derma yang belum diagihkan oleh kerajaan. Rakyat akan memerhatikan perkembangan ini dengan teliti.
Skandal bogel dan ketuk ketampi dalam lokap polis
Malaysia digemparkan dengan berita salah laku polis apabila klip video yang merakamkan aksi bogel dan ketuk ketampi seorang wanita didedahkan di parlimen oleh ahli Parlimen Seputih, Teresa Kok. Serta merta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapat liputan akhbar tempatan dan luar negara. Lokasi "aksi " itu adalah sebuah lokap polis di Petaling Jaya.
Isu ini menjadi lebih hanagat apabila wanita yang menjadi mangsa itu disyaki warga China. Ini menyebabkan hubungan anatara Malaysia dan China "terganggu " sebentar hingga seorang menteri terpaksa dihantar ke negara itu untuk menjernihkan keadaan.
Satu Suruhanjaya Penyiasat Bebas ditubuhkan untuk menyiasat kes ini. Apabila disahkan wanita yang menjadi mangsa itu adalah Melayu, sekali lagi PDRM dipersalahkan kerana tidak mendedahkan identiti wanita itu lebih awal. Jari juga dituding ke arah pihak media kerana terlalu cepat membuat spekulasi mengenai identiti mangsa.
Pihak polis mempertahankan tindakannya dengan menegaskan kaedah soal siasat itu mematuhi peraturan yang dibenarkan. Menurut mereka ketuk ketampi perlu dilakukan bagi mengeluarkan benda tersembunyi dalam anggota sulit.
Laporan penuh badan penyiasat bebas itu dijangka dikeluarkan pada 15 Januari depan. Ia akan menentukan sejauh mana pemeriksaan tubuh boleh dilakukann termasuk kuasa membogel dan ketuk ketampi .
Perang mulut di Parlimen
Parliamen Malaysia tahun ini tidak sunyi dari pelbagai drama. Pada 22 Jun lalu, Setiausaha Aagung MIC, S Sothinathan digantung jawatannya sebagai Timbalan Menteri selama tiga bulan. Dia didakwa melanggar disiplin ketika membahaskan isu penarikan pengiktirafan terhadap ijazah yang dikeluarkan oleh Crimea State Medical University di Ukraine.
Dalam perbahasan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazri Abdul Aziz menyebut perkataan ' perkauman " tidak kurang 1 kali - ditujukan kepada Sothinathan and wakil DAP, M Kula Segaran.
Dua orang ahli parlimen Barisan Nasional, Mohamed Aziz dari Sri Gading dan Bung Mokhtar Radin dari Kinabatangan pula diberi amaran keras kerana menyokong usul pembangkang yang mencadangkan tindakan disiplin dikenakan terhadap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz berhubung isu permit import (AP) kereta.
Beberapa bahasa yang kurang manis juga dilontarkan di Dewan Rakyat sepanjang tahun ini. Ahli Parlimen Jerai, Badruddin Amiruldin telah mengarahkan sesiapa yang tidak suka dengan negara Islam supaya " keluar dari Malaysia" .
Beliau juga pernah melabelkan Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang sebagai " orang tua bodoh" dan Ah Pek . Dalam satu insiden lain, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas berulang-ulang kali memanggil wakil pembangkang sebagai " monyet".
Pada April lalu kejadian bumbung bangunan parlimen bocor ketika hujan lebat menghangatkan Menteri Kerja Raya, Datuk Samy Vellu. Penjelasan menteri itu berhubung perkara tersebut pada bulan Oktober dipertikaikan kerana ia tidak sepatutnya berlaku selepas parlimen diubahsuai dan dibaiki dengan kos yang tinggi.
Anggota parlimen juga bersatu hati menentang cadangan menghidupkan Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) 1963. Akta tersebut dianggap cuba menyekat kebebasan pentadbiran parlimen. Percubaan untuk menubuhkan Jabatan Parlimen ditolak hingga ia kekal sebagai sebuah unit pentadbiran sahaja.
Rasuah
Gejala rasuah dan penyelewengan kuasa terus berleluasa dalam kerajaan dan parti. Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Isa Samad menjadi mangsa "gerakan perbersihan " yang dilakukan di dalam Umno. Beliau didapati bersalah melakukan politik wang dalam pemilihan pucuk pimpinan parti itu pada September 2004.
Ahli politik veteran itu tidak mempunyai pilihan kecuali meletakkan jawatan pada 17 Oktober selepas rayuannya ditolak oleh lembaga disiplin Umno. Beliau bagaimanpun berjaya mengurangkan hukuman gantung keahliannya daripada enam tahun kepada tiga tahun sahaja.
Turut sama didakwa melakukann politik wang sepanjang peroses pemilihan parti itu ialah 69 ahli Umno lain. Bagaimanapun selepas siasatan dilakukan, hanya 15 pemimpin didapati bersalah melakukan rasuah politik.
Bagaimanapun mementum anti-rasuah yang digerakkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu tidak bergerak sebagaimana yang diharapkan. Ia menjadi "sejuk" apabila kata-kata tidak disusuli dengan tindakan tegas.
malaysiakini tidak ketinggalan dalam usaha memulihkan perbahasan mengenai rasuah ini. Pada 1 April, laman web ini menyiarkan "guruan" April Fool berhubung rasuah dalam kerajaan dan di kalangan pemimpinnya. Mereka yang dikaitkan dengan "guruan" itu telah memberikan reaksi serta merta walaupun "berita" itu disiarkan sebentar sahaja di skrin laman berita ini.
Ekoran "guruan" malaysiakini dicop sebagai pembohong dan kerajaan didesak supaya mengambil tindakan ke atasnya.
Pada 18 Oktober pula Transparency International Malaysia mengeluarkan laporan indeks rasuah tahunannya di mana Malaysia diletakkan di tangga 39 dengan memperoleh markah 5.1 daripada 10.
Universiti awam - setahun yang memalukan
Tahun ini adalah tempoh yang amat menyedihkan bagi sistem univertsiti awam negara ini. Ia dibelenggu oleh permainan politik dan birokrasi hingga tiga ahli akademik ditunjukkan jalan keluar. Mereka disingkirkan bukan atas alasan akademik tetapi faktor lain.
Pada Mac lalu, Universiti Utara Malaysia menamatkan khidmat dua pensyarahnya, Dr Azly Abdul Rahman dan Dr Mutiara Mohamad ekoran keengganan mereka menandatangani Akujanji yang diwajibkan ke atas semua kakitangan awam.
Pada Mei pula, pensyarah ekonomi Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Edmund Terrence Gomez dipaksa meletakkan jawatan apabila permohonannya untuk bercuti ditolak. Bagaimanapun dengan campurtangan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, beliau dapat pergi ke Geneva untuk mengetuai projek penyelidikan Perrtubuhan Bangsa Bersatu (PBB) selama dua tahun tanpa melepaskan jawatannya di universiti tersebut.
Pada bulan yang sama, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Shafie Mohd Salleh mengarahkan Naib-Chanselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Mohd Zohadie Bardaie meletakkan jawatan selepas tokoh akademik itu membaca pantun menyindir menteri itu di satu majlis. Pertengahan bulan ini Naib-Chanselor itu menghantar surat peletakkan jawatannya yang berkuatkuasa pada 5 Januari 2006.
Pilihanraya kampus pada bulan September juga suatu insiden yang merosakkan sejarah universiti awam negara ini. Dalam pilihanraya tersebut pelbagai pelanggaran peraturan didakwa telah berlaku hingga menyebabkan kumpulan "anti-establismen" memboikot pilihanraya berkenaan.
Ekoran tindakan tersebut, sekumpulan pemimpin pelajar telah dikenakan tindakan disiplin oleh pentadbiran universiti.
Satu lagi isu kontroversi yang menghantui sektor pendidikan negara ialah pembatalan pengiktirafan terhadap ijazah perubatan dari Crimea State Medical University di Ukraine pada June lalu oleh Kementerian Kesihatan. Keputusan itu berkuatkuasa pada Januari 2006.
Pada November lalu Universiti Malaya pula mengemparkan dunia institusi pengajian tinggi awam apabila diumumkan kedudukannya sebagai universiti terbaik dunia jatuh ke tangga 169 tahun ini daripada 89 tahun lepas.
Perbezaan pendapat mengenai DEB
Sekali lagi Dasar Ekonomi baru (DEB) menjadi topik hangat. Setelah tamat tempohnya pada tahun 1990 kini ia cuba dihidupkan semula.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Hussein menghunus keris di perhimpunan agung Umno pada Julai lalu sambil berikrar untuk mempertahankan hak istimewa orang Melayu ketika menggesa semangat DEB dihidupkan semula.
Masyarakat bukan bumiputera termasuk pemimpin MCA dan Gerakan memberikan reaksi berbeza yang menjurus kepada kecurigaan terhadap tujuan dasar itu mahu dihidupkan semula.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan menyokong konsep dasar DEB yang hendak diserapkan dalam sebuah dasar baru yang dipanggil Agenda Nasional Baru.
Pemilihan pucuk pimpinan MCA dan Gerakan
Dua parti utamna kaum Cina, MCA dan Gerakan mengadakan pemilihan pada bulan yang sama - Ogos. Persaingan hebat berlaku untuk jaawatan-jawatan tinggi parti tersebut.
Datuk Ong Ka Ting menewaskan Datuk Chua Jui Meng dan Timbalannya, Datuk Chan Kong Choy berjaya mengalahkan Datuk Ting Chew Peh dan bekas ketua Pemuda MCA, Chan Tse Yuen.
Sembilan calon bertanding merebut empat jawatan Naib-Presiden dan 46 orang bertanding untuk mengisi 25 kerusi jawatankuasa pusat MCA.
Gerakan pula menyaksikan Presidennya Dr Lim Keng Yaik dicabar oleh musuh ketatnya, Datuk Kerk Choo Ting. Tindakan Lim menyokong anak didiknya, Tan Seeri Dr Koh Tsu Khoon untuk jawatan Timbalan Presiden menyebabakan Kerk mencabarnya.
Koh menang tanpa bertanding bagi jawatan nombor dua dalam parti itu tetapi untuk tiga jawatan Naib-Presiden, pertarungan lima penjuru berlaku antara Dr S. Vijayaratnam, Dr Teng Hock Nan, Chang Ko Youn, Dr Tan Kee Kwong dan Rhina Bhar.
Lim berjaya menewaskan Kerk untuk menerajui Gerakan bagi penggal kelima.
Penswastaan bekalan air
Cadangan menswastakan bekalan air telah terpaksa ditangguhkan. Terima kasih kepada gerakan rakyat yang cepat menghidu kesan buruk program penswastaan itu. Kerajaan memberi alasan kononnya mahu meningkat mutu bekalan air, maka ia perlu diswastakan.
Kononnya kekurangan dan kekerapan gangguan bekalan air di beberapa negeri kebelakangan adalah akibat kelemahan pengurusan bekalan air.
Pada Jun lalu Kementerian Komunikasi, Air dan Tenaga menyerah kalah dan menarik balik cadangan penswastaan itu. Kerajaan juga mengakui model perngkorporatan perkhidmatan air Pulau Pinang adalah yang lebih baik untuk dicontohi.
Pengampunan pekerja asing
Isu pendatang tanpa izin atau pekerja asing turut mendapat perhatian tahun ini. Dasar yang tidak konsisten menyebabkan langkah mengnyahkan pendatang asing dikritik hebat oleh masyarakat antarabangsa.
Pengumuman kerajaan pada Oktober 2004 untuk mengusir pekerja asing termasuk mereka yang mempunyai dokumen sah telah dihentam hebat oleh aktivis hak asasi manusia dan kesatuan sekerja kerana dibimbangi langkah itu membawa kepada penyelahgunaan kuasa.
Selepas rayuan dari Jakarta, program itu ditangguhkan dan kerajaan menggunakan taktik berlembut dengan memujuk pendatang tanpa izin kembali ke negara masing-masing secara sukarela. Mereka diberi tempoh pengampunan sehingga 1 Mac. Ribuan pekerja asing yang tidak sah menggunakan peluang ini untuk kembali ke tempat asal mereka dan kemudiannya datang semula berkerja secara sah.
Pada Oktober lalu Menteri Dalam Negeri, Datuk Azmi Khalid mengumumkan kad pengenalan bermutu tinggi akan dikeluarkan untuk pekerja asing di sektor pembuatan, restoran dan pertanian.
Dasar bahasa pengantar bahasa Inggeris
Dasar mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang kontroversi ini diteruskan juga oleh kerajaan sejak dua tahun lalu walaupun secara umumnya para pejuang bahasa ibunda tidak menyetujuinya.
Para pejuang bahasa ibunda tetap tidak berputus asa dan terus berjuang untuk menukar balik dasar tersebut.
Persatuan pendididkan China, Dong Jiao Zong (DJZ) terus mendesak dasar itu dikaji semula dengan disokoing oleh parti-parti pembangkang termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Presiden Gerakan Tan Seri Dr Koh Tsu Koon turut menyokong usaha DJZ itu.
Pada awal Disember DJZ berjaya mengumpul lebih 4,000 penyokong termasuk orang Melayu dan India di satu perhimpunan di Kajang untuk membantah dasar ini.
Bagaimanapun Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Hussein, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi dan timbalannya, Datukm Seri Najib Abdul Razak telah berulang kali menegaskan dasar itu akan kekal.
Pada November lalu Abdullah mengarahkan semua komponen Barisan Nasional berhenti membincangkan isu ini secara terbuka dan memberi jaminan ia akan dikaji semula.
Artikel disediakan oleh team malaysiakini .
Esok akan disiarkan pula "X-files" dan hari Jumaat "Newsmaker of the Year".

