Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
HARAPAN digesa isyithar semua aset, bukan hanya gaji

Pakatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Governans, Integriti, Akauntabiliti dan Ketelusan (GIAT) kecewa apabila wakil rakyat Pakatan Harapan (HARAPAN) membuat pengisytiharan pendapatan tanpa memperincikan aset keseluruhan mereka.

Pada sidang media hari ini, jurucakap GIAT, Cynthia Gabriel berkata butiran pendapatan menteri dan anggota parlimen yang dimuat naik di laman web SPRM sebelum ini 'jauh dari yang dijanjikan HARAPAN' sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14.

"Pengisytiharan aset bererti anda perlu mengisytiharkan semua aset, termasuk gaji, akaun bank, saham, hartanah, dan seumpamanya, termasuk yang dimiliki di luar negara," katanya.

Cynthia menjelaskan bahawa maklumat pendapatan 10 lagi menteri dan 34 anggota parlimen belum dimuat naik di laman web berkenaan.

"Ini jelas sikap tidak hormat dan 'tak kisah' di kalangan anggota parlimen dan mereka yang memegang jawatan menteri," katanya.

GIAT memberikan masa dua lagi minggu untuk menteri HARAPAN dan anggota parlimen mengisytiharkan aset mereka secara terperinci.

"Sekiranya gagal, GIAT akan menamakan dan memalukan individu dan anggota parlimen yang belum mengisytiharkan aset mereka," katanya.

Cynthia, yang merupakan pengarah Combat Corruption and Cronyism (C4) berkata, GIAT juga akan menamakan anggota parlimen dan menteri yang butiran pengisytiharan pendapatan belum dimuat naik di laman web SPRM.

Dalam manifesto pilihan rayanya, Pakatan Harapan (HARAPAN) berjanji untuk mewajibkan kesemua anggita Dewan Rakyat, Dewan Negara dan pegawai kerajaan berpangkat Jusa C ke atas membuat pengisytiharan aset dan pendapatan.

Banyak pihak yang mengkritik pengisytiharan harta yang disiarkan di laman web SPRM itu kerana hanya melibatkan pendapatan bulanan.

Jumaat lalu, The Star melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull sebagai berkata pihaknya sedang menunggu kata akhir daripada kabinet untuk menyiarkan aset-aset yang diisytiharkan menteri.

Mengulas perkara itu, Cynthia berkata sikap "mengalihkan kesalahan" antara pihak dalam kerajaan seperti itu tidak boleh diterima dan hanya menunjukkan kerajaan HARAPAN tiada tekad politik.

Beliau menggesa kerajaan merangka Akta Pengisytiharan Harta, satu undang-undang baru untuk memastikan individu tertentu mengisytiharkan aset dan liabiliti - dalam dan luar negara - secara berkala.

Untuk itu, katanya lagi, kerajaan boleh merujuk Rangka Kerja Pengiystiharan Harta Umum (PADF) - yang dibuat oleh GIAT dan Badan Peguam Malaysia - untuk merangka undang-undang baru itu.

'Keselamatan bukan alasan'

GIAT adalah gabungan pertubuhan masyarakat sivil merangkumi C4 dan NGO-NGO lain.

Turut hadir adalah Pegawai Penyelidikan Perundangan C4 Fadiah Nadwa Fikri, Setiausaha Agung Amnesty International-Malaysia Muhammad Mohan, dan Pengerusi MyPJ Jeffrey Phang.

Terdapat tanggapan bahawa pengisytiharan harta secara terperinci membawa ancaman risiko kepada ahli politik dan keluarga mereka.

Mengulas perkara itu, Phang berkata ahli politik sepatutnya sudah menjangka tuntutan untuknya berbuat demikian dan tidak menjadikan faktor keselamatan sebagai alasan.

"Kita boleh lihat ramai taikun di Malaysia yang kia tahu sangat kaya, dan mereka mengisytiharkan akaun dan saham milik mereka. Mengarut untuk mereka (ahli politik) berkata mereka tidak akan berbuat demikian (kerana faktor keselamatan)," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS