Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
PTPTN: Langkah k'jaan lepas ambil kira keperluan semasa, akan datang

Kerajaan mengambil kira keperluan semasa dan akan datang terlebih dahulu dalam memperkenalkan kaedah pembayaran balik pinjaman PTPTN secara potongan gaji berjadual bagi peminjam berpendapatan lebih RM1,000 sebulan.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah berkata, ini kerana berdasarkan penilaian dibuat ke atas perbadanan tabung pendidikan itu, terdapat sesuatu tidak tertampung berbanding sebelum ini di mana PTPTN dilihat masih mampu untuk memenuhi permintaan pinjaman.

"Kerana melihat ada sesuatu yang perlu dilakukan maka kerajaan merasakan perlunya peminjam yang berpendapatan melebihi RM1,000 membayar pinjaman PTPTN mereka bermula dengan kadar dua peratus dahulu.

"Kadar dikenakan itu tidaklah banyak sangat tetapi yang penting bayaran balik pinjaman itu dapat dibuat dan boleh digunakan untuk memberikan pinjaman kepada orang lain pula," katanya pada sidang media selepas perasmian Forum Pasca Belanjawan 2019 anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah, di Alor Setar hari ini.

Perasmian itu disempurnakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan turut dihadiri Naib Canselor UUM Prof Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019 Jumaat lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyatakan kerajaan memperkenalkan kaedah pembayaran balik pinjaman PTPTN menerusi potongan gaji secara berjadual bagi peminjam yang berpendapatan lebih RM1,000 sebulan.

Dalam pada itu, Amiruddin menegaskan keputusan kerajaan memberikan subsidi petrol bersasar bagi kereta berkapasiti enjin 1,500cc dan ke bawah serta motosikal 125cc dan ke bawah seperti dalam pembentangan bajet itu hanya mensasarkan golongan sasaran iaitu daripada isi rumah berpendapatan rendah (B40).

"Kita belum keluarkan perincian lagi tentang perkara ini, pelaksanaannya hanya akan dibuat pada suku kedua 2019.

"Bila kita kata subsidi bersasar, sudah pasti golongan sasaran iaitu seperti mereka yang B40 ini. Kalau terkeluar dari golongan itu tentulah tak dapat subsidi bersasar ini. Kami sedang perincikan lagi,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS