Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahdzir janji bela nasib rakyat Kedah
Diterbitkan:  Dec 28, 2005 6:49 PM
Dikemaskini: Jan 29, 2008 10:21 AM

Datuk Mahdzir Khalid, yang memulakan tugas sebagai Menteri Besar Kedah mulai hari ini, berjanji akan memberi perkhidmatan terbaik kepada seluruh rakyat negeri itu.

"Kepada seluruh rakyat Kedah, saya dan barisan exco akan berusaha sedaya upaya memberi kesejahteraan kepada rakyat," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco yang pertama selaku Menteri Besar di Wisma Darul Aman di Alor Setar.

Mahdzir, 45, yang menggantikan Datuk Seri Syed Razak Syed Zain, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Kedah di Istana Anak Bukit.

Menteri Besar Kedah yang kelapan itu berkata segala program yang telah dilaksanakan dan bakal dilaksanakan adalah bagi memastikan rakyat dapat menikmati kehidupan yang selesa.

Mahdzir juga berharap para pemimpin kerajaan, parti politik dan semua pihak lain memberi sokongan supaya beliau dapat menjalankan tugas pentadbiran negeri dengan cekap dan berkesan.

Katanya beliau akan memberi tumpuan kepada tiga perkara penting ke arah menjadikan Kedah sebagai negeri maju iaitu dalam bidang pendidikan, pembasmian kemiskinan di bandar serta luar bandar dan pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

"Kerajaan akan mempertingkatkan lagi bidang pendidikan terutama di kalangan anak-anak di luar bandar sementara bagi ICT, kerajaan akan merancang beberapa program bagi melonjakkan tahap pembangunan bidang berkenaan," kata Mahdzir.

Beliau juga akan meneruskan program pembangunan negeri yang sedia ada seperti yang digariskan menerusi Pelan Kedah Maju.

Potfolio Exco

Mengenai portfolio 10 anggota exco, yang turut mengangkat sumpah hari ini, Mahdzir berkata enam daripada mereka kekal memegang bidang mereka.

Mereka ialah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah (Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Prof Datuk Dr Othman Ishak (Agama dan Pembangunan Insan) dan Datuk V. Saravanan (Kesihatan, Kebajikan, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Masyarakat India).

Tiga lagi ialah Datuk Chong Itt Chew (Industri, Pengangkutan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Masyarakat Cina), Khalidah Adibah Ayob (Penerangan, Pembangunan Wanita dan Pertubuhan Sukarela) manakala Datuk Azimi Daim, yang akan terus memegang portfolio Exco Pelajaran, akan turut diberi tanggungjawab tambahan iaitu bidang Multimedia dan ICT.

Anggota exco yang berubah portfolio ialah Datuk Fong Chok Gin yang sekarang mengetuai Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Nawawi Ahmad (Kerja Raya, Tenaga dan Alam Sekitar), dan Shuib Saiden (Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi).

Muka baru, Othman Aziz, akan bertanggungjawab terhadap bidang Belia dan Sukan manakala Mahdzir sendiri akan memegang portfolio Tanah, Kewangan dan Pertanian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS