ULASAN | Belanjawan 2019 yang dibentangkan pada Jumaat lalu pada dasarnya adalah suatu Belanjawan yang baik apabila mengambil kira masalah ekonomi yang diwarisi serta keadaan ekonomi global yang mencabar. Namun tetap mempunyai beberapa kelemahan kepada golongan-golongan tertentu seperti Rakyat luar bandar, nelayan dan petani.

MTEM memuji kaedah pemberian Bantuan Sara Hidup yang akan mengambil kira bilangan ahli isi rumah, gaji minima yang ditingkatkan, usaha mengurangkan pekerja asing melalui levi, keperluan syarikat tersenarai untuk menerbitkan statistik gaji dan juga kad pengangkutan awam tanpa had untuk hanya RM100 sebulan.

MTEM tidak bersetuju dengan kenyataan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa kerajaan yang baik tidak sepatutnya melibatkan diri dalam perniagaan dan ini seolah-olah menandakan keinginan untuk melepaskan pegangan kerajaan di perniagaan yang dimilikinya. Jika ini terjadi, suatu alat kemajuan ekonomi Bumiputera yang paling berkesan akan terjejas.

MTEM juga melihat Belanjawan kali ini mempunyai peruntukan yang secara relatifnya kecil untuk agenda baru ekonomi Bumiputera. Agenda baharu Ekonomi Bumiputera hanya menerima kira-kira RM3.6 bilion daripada jumlah besar Belanjawan 2019 sebanyak RM314.5 bilion.

Belanjawan 2019 boleh dianggap sebagai suatu yang positif untuk Bumiputera kerana kebanyakan Bumiputera akan mendapat kesan yang positif hasil belanjawan yang menumpukan kepada golongan B40. 

Namun, MTEM bimbang Agenda Ekonomi Bumiputera tidak akan diberi perhatian yang secukupnya untuk golongan usahawan dan majoriti masih bergantung pada perolehan daripada Kerajaan.

MTEM menaruh harapan pada penjelasan lanjut berkenaan Akta Perolehan Kerajaan yang dimulakan tahun depan untuk mengawal selia proses perolehan bagi memastikan ketelusan dan persaingan terbuka. 

Dengan akta ini, MTEM berharap hanya kontraktor bumiputera yang berkelayakan dan tulen akan berpeluang untuk mendapat kontrak kerajaan yang dikhaskan untuk bumiputera. 

MTEM juga berharap agar akta ini akan berkuasa pada kontrak yang tinggi nilainya dan diiringi akta sabotaj ekonomi yang akan menghapuskan amalan Ali Baba bagi mereka yang mendapat kontrak kerajaan.

Sektor pertanian, perikanan

Isu keselamatan dan kedaulatan makanan yang telah lama diperjuangkan MTEM tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Tiada gerakan padu untuk mewujudkan kembali

Lembaga Padi & Beras Negara (LPN) walaupun MTEM dan Padi Rescue telah memberi hujan akan kepentingan LPN kepada keselamatan bekalan makanan negara. Takrifan Food Security & Sovereignty tidak boleh sama dengan pemahaman Singapura yang tidak ada bendang sawah dan beribu orang petani dan pesawah untuk di bela.

Peruntukan kerajaan untuk sektor pertanian dan perikanan tertumpu kepada pembangunan industri seperti penyelidikan untuk benih, automasi dan latihan industri yang bersifat jangka masa panjang namun tidak memberi kesan terus kepada petani dan nelayan. 

Walaupun niat dan rancangan kerajaan adalah murni, tidak harus dilupakan kebajikan petani dan nelayan yang memerlukan perhatian segera dengan adanya ‘social safety net’. 

Sebagai contoh, bantuan untuk petani sebanyak RM200 sebulan sementara menunggu musim menuai tidak disambung dan subsidi baja dan subsidi pengeluaran hasil yang dipotong separuh. 

Jelas sekali, sektor pertanian dan perikanan bukanlah keutamaan bagi kerajaan. Adalah perlu untuk kerajaan menjelaskan kepada wakil pesawah apa perubahan yang ingin dilakukan dan apa jaminan kebajikan pesawah dan keselamatan makanan negara terus terjamin.

Kadar pemilikan rumah bumiputera

Berkenaan langkah kerajaan untuk mewujudkan platform penjanaan dana hartanah masyarakat (property crowdfunding) sebagai alternatif membeli rumah pertama di mana pembeli rumah pertama hanya perlu bayar 20 peratus daripada jumlah harga rumah dan selebihnya akan dibayar oleh pelabur, langkah ini sebenarnya bukan untuk membantu rakyat Malaysia untuk memiliki rumah tetapi hanya untuk menyelesaikan masalah rumah yang tidak terjual.

Ini kerana rakyat hanya berhak kepada 20 peratus daripada rumah tersebut iaitu jauh sekali dari pemilikan seratus peratus. Jika pembeli ingin memiliki rumah secara mutlak, mereka perlu membayar lebih banyak untuk membeli 80 peratus yang selebihnya. Jika tidak mampu, rumah itu akan menjadi milik pihak-pihak swasta yang asalnya memberi dana untuk 80 peratus hakmilik rumah itu.

Skim ini jauh lebih menguntungkan pihak pemaju berbanding rakyat jelata dan lebih teruk lagi, ada kemungkinan harga rumah yang sudah pun mahal akan menjadi lebih mahal lagi kerana dengan skim ini, lebih senang untuk menjadi pemilik “20 peratus rumah”.

MTEM ingin menekankan fakta bahawa kadar pemilikan rumah bagi Bumiputera adalah jauh lebih rendah berbanding kaum lain. Keadaan ini sebenarnya disebabkan kombinasi pendapatan Bumiputera yang terlalu rendah dan harga perumahan yang terlalu mahal, terutamanya di kawasan bandar. Diharapkan pihak kerajaan boleh menerangkan manfaat property crowdfunding di masa terdekat.

Masih belum terlambat bagi kerajaan untuk melaksanakan langkah-langkah yang memastikan kepentingan Bumiputera, nelayan dan petani tidak terabai. Kebanyakan butiran yang terkandung di dalam Belanjawan 2019 adalah positif namun diharap agar rakyat tidak perlu menunggu lebih lama. 

Oleh kerana itu MTEM akan menganjurkan Dialog Ekonomi Bumiputra dengan beberapa pemegang taruh sebagai untuk mengumpul maklum balas daripada rakyat kepada kerajaan.

Nota editor: Malaysiakini menyiarkan ulasan awal MTEM mengenai tajuk yang sama tetapi badan itu kemudian menarik balik kenyataan tersebut untuk disesuai dengan kenyataan yang baru (di atas). Pada masa ini, ulasan terdahulu telah diturunkan.


AHMAD YAZID OTHMAN ialah Ketua Pegawai Eksekutif MTEM.

Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis atau organisasi diwakilinya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.