Polis tahan majikan jadikan 48 warga India 'buruh paksa'
Majikan yang didakwa terlibat dalam buruh paksa melibatkan seramai 48 warga India di Bentong, Pahang telah ditahan selepas membuat laporan polis mendakwa pekerja berkenaan "melarikan diri".
Jabatan Tenaga Kerja dalam satu kenyataan berkata ia telah dimaklumkan mengenai perkara itu oleh polis.
"Majikan yang disyaki telah ditahan oleh pihak polis apabila memfailkan laporan polis di ibu pejabat kontinjen polis di Bentong atas alasan bahawa 48 pekerja asing itu telah melarikan diri," kata jabatan itu dalam satu kenyataan pagi ini .
Jabatan itu berkata para sukarelawan telah memindahkan 48 pekerja India itu ke kuil Hindu Batu Caves di Selangor untuk perlindungan sementara selepas video mengenainya tular di media sosial.
Jabatan Tenaga Kerja yang berada di bawah Kementerian Sumber Manusia berkata ia telah mengerahkan 12 pegawai menyiasat kes itu bersama penglibatan pihak Polis, Majlis Anti Perdagangan Orang dan Jabatan Imigresen di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Ia berkata kenyataan daripada kesemua 48 warga India yang terlibat telah direkodkan di Batu Caves.
Turut hadir di tempat perlindungan itu adalah wakil dari Suruhanjaya Tinggi India dan ADUN Sabai, D Kamache.
"Para pekerja juga mendakwa majikan mereka pada mulanya menjanjikan gaji bulanan sebanyak 25,000 rupee setiap bulan. Bagaimanapun, mereka mendakwa kebanyakan pekerja hanya menerima gaji untuk bulan pertama sahaja.
"Apabila temubual dijalankan, beberapa pekerja juga mendakwa majikan mereka telah mengambil dokumen perjalanan / pasport mereka," kata jabatan itu.
Warga India berkenaan digajikan untuk melaksanakan kerja-kerja pemasangan kabel di Kampung Chamang, Bentong.
Jabatan itu berkata ia menyiasat kes itu di bawah Akta Pekerjaan 1955 berhubung kegagalan membayar gaji, kegagalan memaklumkan ketua pengarah tenaga kerja mengenai pekerja asing dan kegagalan memberikan kontrak pekerjaan secara bertulis.
Sementara itu, pihak polis dan Jabatan Imigresen akan menjalankan siasatan berasingan terhadap majikan berkenaan kerana didakwa melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

