Kad pengenalan lama masih sah selepas 21 Disember
Kad pengenalan lama masih sah digunakan untuk semua urusan rasmi selepas 31 Disember ini sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian, kata Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Azmi Khalid.
Kad pengenalan lama masih sah digunakan untuk semua urusan rasmi selepas 31 Disember ini sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian, kata Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Azmi Khalid.
Beliau berkata anggapan bahawa kad pengenalan lama tidak boleh digunakan lagi mulai tahun depan adalah tidak benar.
"Walaupun kita menyarankan semua rakyat supaya memperoleh MyKad pada akhir 2005 tetapi bagi mereka yang belum mendapat MyKad pada akhir tahun ini, kad pengenalan lama masih boleh digunakan untuk sebarang urusan rasmi.
"Kerajaan belum menetapkan lagi bilakah tempoh kad pengenalan lama itu tidak boleh diguna pakai," katanya kepada pemberita di Putrajaya.
Pada masa yang sama, katanya, kerajaan juga tidak akan melanjutkan tempoh penukaran MyKad secara percuma yang akan berakhir Sabtu ini dan suatu jumlah bayaran akan dikenakan selepas itu.
Serbu pejabat JPN
Azmi berkata jumlah bayaran yang akan dikenakan bagi permohonan MyKad akan ditentukan minggu depan oleh Kabinet dan beliau memberi jaminan bahawa jumlahnya tidak akan membebankan orang ramai.
Berikutan semakin ramai orang berpusu-pusu mengunjungi pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi membuat urusan penukaran MyKad pada saat-saat akhir, Azmi menasihatkan mereka supaya pergi ke pejabat JPN yang tidak sesak.
"Didapati pejabat JPN yang sesak hanya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ibu Pejabat JPN Putrajaya dan semua pejabat JPN cawangan Selangor, kecuali di Kuala Kubu Baharu, Sabak Bernam dan Sepang.
"Kalau mereka yang berada di negeri Selangor yang mendapati pejabat cawangan JPN lain terlalu sesak, bolehlah mereka pergi ke Kuala Kubu Baharu, Sabak Bernam dan Sepang," katanya.
Katanya terdapat 256 pejabat cawangan JPN di seluruh negara dan semua ibu pejabat JPN negeri akan beroperasi sehingga pukul 12 malam bagi memenuhi permohonan orang ramai yang ingin membuat urusan penukaran MyKad.
Azmi berkata sehingga semalam, terdapat kira-kira 1.2 juta orang yang belum menukar menukar kad pengenalan lama mereka kepada MyKad.

