Pusat pemindahan banjir pertama di Terengganu mula dibuka berikutan hujan lebat sejak malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A. Rahman berkata setakat ini hanya satu pusat pemindahan banjir dibuka sejak 11 pagi tadi iaitu di Dewan Sivik Kampung Seberang Pintasan di daerah Dungun.

"Seramai 40 mangsa daripada 12 keluarga dari Kampung Seberang Pintasan ditempatkan di dewan terbabit selepas rumah mereka dinaiki air," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri Terengganu juga mengeluarkan amaran banjir yang dijangka berlaku malam ini bermula jam 10 malam susulan amaran cuaca buruk peringkat jingga yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) semalam.

Menurut kenyataan tersebut, banjir akan melibatkan beberapa kampung di sepanjang Sungai Telemong iaitu Kampung Basung, Kampung Teris, Kampung Tok Lawit, Kampung Kepah, Kampung Tengkawan dan Kampung Kuala Ping manakala Sungai Nerus melibatkan Kampung Langkap dan Kampung Merbau Menyusut.

Dalam kenyataan sama, JPS turut memaklumkan bahawa kesemua sungai utama di Terengganu telah menunjukkan peningkatan paras air dengan tiga daripadanya iaitu Sungai Chalok, Setiu, Sungai Nerus (Kampung Langkap), Setiu dan Sungai Setiu, Besut telah melepasi paras waspada.

Selain itu, dua sungai lagi iaitu Sungai Telemong dan Sungai Nerus (Kampung Bukit), Setiu telah melepasi amaran dan orang ramai diminta berjaga-jaga.

Mengikut kenyataan itu juga, banjir diramalkan berlaku esok (7 November) bermula jam 11 pagi melibatkan Kampung Matang, Kampung Nibong, Kampung Bukit Tadok dan Kampung Paloh Nyior di daerah Hulu Terengganu berpunca daripada limpahan air Sungai Telemong.

- Bernama