Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wan Azizah nafi dakwaan Zuraida
Diterbitkan:  Nov 6, 2018 6:41 PM
Dikemaskini: 10:41 AM

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menafikan bahawa wujud sindrom penafian berkaitan unsur-unsur sabotaj dalam pemilihan parti itu seperti didakwa ketua wanitanya Zuraida Kamaruddin.

Menurut Dr Wan Azizah selain tiada isu penafian dalam parti beliau juga mahu semua pihak tidak cuba untuk membayangkan bahawa parti itu bermasalah.

"Tidak ada penafian. Kalau ada sesuatu kita akan ambil tahu," katanya kepada pemberita semasa melawat Rumah Rengayan Anak Ngumbang di Nanga Ruyak di Julau, Sarawak hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Zuraida pada akhir bulan lalu yang berkata pucuk pimpinan parti perlu bangkit daripada sindrom penafian dan memandang serius kemungkinan wujud unsur sabotaj pada pemilihan PKR kali ini.

Zuraida yang bertanding jawatan naib presiden berkata isu berkenaan memerlukan penyelesaian segera secara tuntas kerana boleh merosakkan keseluruhan sistem pemilihan.

Dr Wan Azizah berkata beliau mahu pemilihan PKR dijalankan secara bersih dan adil, termasuk tidak menggunakan sebarang jentera kerajaan atau jawatan di dalam kerajaan yang boleh menghalang anggota parti membuat pemilihan secara demokratik.

"PKR mahukan agar pemilihan ini dijalankan secara lancar dengan semua ahli boleh membuat pilihan masing-masing secara bebas.

"Biarlah ia dijalankan secara sihat tanpa menggunakan jentera kerajaan kerana ada di antara mereka yang bertanding adalah (memegang jawatan) di dalam kerajaan. Ini supaya calon-calon dapat bertanding di atas padang yang sama rata," katanya.

Beliau juga berkata kemuncak pemilihan parti itu akan diadakan pada 10 Nov di 29 cabang-cabang di Sarawak.

Dr Wan Azizah mengakui terdapat masalah capaian internet bagi pengundian yang dijalankan secara dalam talian di beberapa cabang seperti Julau yang hanya mempunyai capaian 10 peratus sahaja.

"Kita (akan) adakan kongres dan kita mahukan agar pemilihan dijalankan mengikut jadual," katanya.

Katanya beliau menyerahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti untuk menentukan penangguhan pemilihan apabila berlaku masalah teknikal.

Terdahulu, Dr Wan Azizah yang juga timbalan perdana menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi pembinaan jalan ke Rumah Rengayan yang mempunyai kira-kira 200 penduduk.

- Bernama

Lihat Komen
ADS