Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hang Tuah: Catatan Okinawa antara buku diterjemah ke bahasa Jepun

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik hari ini melancarkan lima buku terbitan Malaysia yang diterjemahkan ke bahasa Jepun dalam satu majlis yang berlangsung di Kinokuniya Shinjuku, Tokyo.

Kementerian pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata, judul buku-buku yang dilancarkan ialah Islamic Finance Fundamentals With Applications in Malaysia, The Basics of Islamic Finance With Applications in Malaysia, Hang Tuah: Catatan Okinawa, Halal: All That You Need To Know dan Beautiful Malaysia.

Maszlee yang kini berada di Tokyo kerana mengiringi lawatan kerja tiga hari Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke negara matahari terbit berkata, pelancaran lima judul itu merupakan permulaan kepada lebih banyak lagi projek terjemahan dan penerbitan buku-buku Malaysia ke bahasa Jepun.

“Usaha terjemahan dan penerbitan buku ini penting untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara,” katanya.

Jelas beliau, perkara itu bertepatan dengan kempen Dekad Membaca Kebangsaan yang digerakkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan KLBACA! iaitu kempen Kuala Lumpur ke arah Kota Buku Dunia 2020.

Jelas kementerian pendidikan usaha itu merupakan inisiatif kerjasama antara Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Japan Malaysia Association (JMA), dengan sokongan tiga universiti awam iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah Presiden Kinokuniya Co. Ltd. Masashi Takai dan Pengarah Eksekutif JMA, Takakazu Ogawa.

"KPM akan teruskan usaha untuk memastikan aktiviti penterjemahan bergiat lebih aktif termasuk terjemahan buku-buku dalam bahasa Melayu ke bahasa asing serta dari bahasa asing ke bahasa Melayu.

“Ini akan meningkatkan ekonomi penterjemahan. Dalam masa yang sama akan ada pemindahan pengetahuan dalam bidang penterjemahan. Ini penting supaya semua kajian kita dirujuk termasuk karya universiti-universiti tempatan," kata kenyataan itu.

Tambah KPM, pada majlis pelancaran itu satu memorandum persefahaman (MoU) turut ditandatangani antara ITBM, JMA dan Kinokuniya Jepun bagi pengedaran buku-buku terbitan ITBM dan JMA di kedai-kedai buku terpilih Kinokuniya di Jepun.

Melalui MoU berkenaan buku-buku hasil kerjasama ITBM dan JMA boleh didapati di pasaran Jepun, sekali gus menyebar luas karya penerbitan Malaysia di peringkat antarabangsa, kata kenyataan itu lagi.

-Bernama

Lihat Komen
ADS